Pilih Bahasa

Murid perempuan Tahun Satu parah digigit anjing

Oleh Junaidi Ladjana

Keadaan mangsa berlumuran darah selepas digigit seekor anjing. – Gambar ihsan SNT/media sosial

RANAU: Seorang murid perempuan Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Lipasu, di sini parah selepas digigit seekor anjing pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, mangsa dikatakan mengikuti beberapa murid lain untuk pulang ke rumah.

Pada jarak 300 meter dari luar kawasan sekolah, seekor anjing tiba-tiba mengejar menyebabkan mereka berpatah balik ke dalam sekolah.

Malangnya mangsa tidak sempat menyelamatkan diri sebelum anjing itu menyerangnya.

Rakan mangsa kemudian melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sebelum bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.

Pengawal keselamatan itu kemudian membawa mangsa ke dalam kawasan sekolah.

Pengarah Pendidik Negeri Sabah, Dr Mistirine Radin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa kemudian dihantar oleh guru di sekolah berkenaan ke hospital.

“Mangsa sudah dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas untuk rawatan lanjut.

Difahamkan mangsa selalunya dijemput oleh bapanya namun pada hari kejadian bapa mangsa terlewat. – SabahNewsToday