Pilih Bahasa

MURID TAHUN 2 MAUT DI LANGGAR VAN DI HADAPAN SEKOLAH

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang murid lelaki Tahun Dua maut selepas di langgar sebuah van jenis Nissan Urvan, di hadapan sekolahnya, di Sekolah Kebangsaan Muhibbah Raya di sini petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, mangsa, Muhammad Addrieyansya Abdullah, 8 tahun, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius dibahagian kepala.

Nissan Urvan yang melanggar murid Tahun Dua. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

Katanya, sebelum kejadian, pemandu van berusia 37 tahun itu sedang mengambil beberapa orang murid dengan menggunakan van persendirian tanpa permit bas sekolah.

“Pemandu van berkenaan mengundurkan kenderaan dan kemudian bergerakkan kenderaannya ke hadapan semula sebelum terdengar bunyi perlanggaran.

“Pemandu kemudian keluar dari van yang dipandunya dan melihat mangsa terbaring di hadapan van terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tempat kejadian … Mangsa, Muhammad Addrieyansya Abdullah, 8 tahun, dilanggar di hadapan sekolahnya, di Sekolah Kebangsaan Muhibbah Raya Tawau. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

Fadil berkata, pemandu van terbabit bergegas membawa mangsa ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan menaiki kenderaan awam lain.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di bahagian kepala.

“Pemandu van kini ditahan untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 41(1)(A)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -SabahNewsToday