Pilih Bahasa

Murid Warganegara Tanpa Dokumen Boleh Bersekolah

Mistrine Radin (lima dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Juhar (lima dari kanan). Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Murid warganegara tanpa dokumen boleh diterima masuk meneruskan pelajaran di sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Mistrine Radin berkata ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut boleh memohon dengan mengisi borang Murid Warganegara Tanpa Dokumen (MWTD) di setiap Jabatan Pendidikan Daerah masing-masing.

“Borang berkenaan perlulah disahkan oleh Ketua Kampung di tempat pemohon tinggal yang boleh mengesahkan bahawa anak itu adalah anak kepada warganegara berkenaan.

“Sekiranya ibu bapa menghadapi masalah untuk menyekolahkan anak yang warganegara tanpa dokumen, mereka boleh datang berjumpa dengan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di Pejabat Pendidikan Daerah berdekatan dengan tempat tinggal mereka.

Mistrine Radin (kiri) berbual mesra dengan Tun Juhar (kanan). Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

“Yang paling penting, ibu bapa atau penjaga perlu mengisi borang MWTD sebagai dokumentasi anak tersebut bersekolah,” katanya kepada pemberita.

Mistrine juga berkata pihaknya akan mengadakan program jangkauan ke setiap daerah bagi memberi pendedahan dan taklimat kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Beliau ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah,Tun Juhar Hj Mahiruddin di Istana Negeri, pagi tadi./PENERANGAN