Pilih Bahasa

Muzium kehakiman pertama di Malaysia dilancarkan di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 18 Feb — Muzium Kehakiman Sabah dan Sarawak yang juga muzium kehakiman pertama di Malaysia, dilancarkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Wong dalam ucapannya berkata muzium kehakiman itu, antara lain menceritakan sejarah yang terlepas pandang sejak pembentukan Malaysia dan akan memastikan  cerita mengenai kehakiman diwar-warkan kepada generasi hari ini dan akan datang.

Wong menunjukkan jubah kehakiman kepada Ketua Hakim Malaysia Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat. Gambar Bernama

Katanya, perancangan dan penyelidikan meluas dijalankan untuk menggambarkan  bagaimana badan kehakiman berkembang mengikut arus masa sejajar keadaan ekonomi, sosial dan politik.

Muzium yang terletak di tingkat lima kompleks mahkamah berkenaan, dibuka kepada orang awam dari Isnin hingga Jumaat mulai pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Antara artifak perundangan yang dipamerkan di muzium ini adalah Jata Diraja United Kingdom yang berusia 132 tahun, disimpan dengan selamatnya di Sandakan sebelum diserahkan kepada Muzium Kehakiman Sabah dan Sarawak pada April 2019 semasa pelancaran kompleks mahkamah berkenaan.

“Antara 1881 dan 1882, North Borneo Chartered Company diberikan konsesi untuk mentadbir North Borneo.

“Hanya pada 1888, undang-undang Inggeris diperkenalkan melalui penubuhan mahkamah, perlantikan hakim dan penguatkuasaan undang-undang, seterusnya perletakan Jata Diraja di mahkamah,” katanya sambil menjelaskan bahawa selepas pembentukan Malaysia pada 16 Sept, 1963, semua mahkamah menggantikan Jata Diraja United Kingdom dengan Jata Negara kerana mahkamah tidak lagi mewakili istana Britain.

Wong berkata muzium itu bukan sekadar memelihara artifak dan sejarah perundangan tetapi juga memperkaya kehidupan rakyat  Malaysia dengan ilmu pengetahuan mengenai perundangan dan memperkenalkan  keadilan sosial.

“Keadilan sosial mempromosikan masyarakat yang berdaya tahan dan kuat. Oleh itu, pentingnya muzium ini kepada masyarakat sememangnya tidak terkira, “ katanya sambil menzahirkan harapan agar orang ramai mempunyai sebab untuk datang melawat muzium berkenaan.

Barangan lain yang dipamerkan di muzim berkenaan adalah jubah istiadat hakim; tukul hakim; mesin taip mahkamah lama; cop dan meterai lama; dan cap meterai yang digunakan pada 1960-an.

— BERNAMA