Pilih Bahasa

Naik taraf Membakut, Bongawan sebagai daerah penuh

KOTA KINABALU, 17 April (Bernama) — Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun Membakut – Bersatu) Datuk Mohd Arifin Mohd Arif meminta kerajaan untuk menaik taraf kawasan Mambakut dan Bongawan sebagai satu daerah penuh.

Beliau berkata kedua-dua kawasan berkenaan adalah jajaran Hab Pendidikan di negeri ini dan pelaksanaan untuk menjadikan kawasan berkenaan daerah penuh perlu dipercepatkan.

Datuk Ariffin Arif. Gambar Fail SNT

“Tanah untuk mendirikan Pejabat Daerah sudah ada dan ia telah diumumkan oleh kerajaan lepas (kerajaan Barisan Nasional)…kini kita hanya mahu pelaksanaannya,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Beliau berkata Mambakut kini adalah berstatus daerah kecil manakala Bongawan belum mempunyai apa-apa status.

“Oleh itu kita mahu kawasan Dewan Undangan Negeri Mambakut dan Bongawan digabungkan menjadi satu daerah penuh dan pusat pentadbiran akan dicadangkan dibina di berhampiran kedua-dua kawasan  berkenaan.

Mohd Afifin juga mencadangkan agar perpustakaan Islam Negeri Sabah yang terletak di Masjid Negeri yang kini hampir siap itu akan menempatkan tesis PhD daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Saya sudah berjumpa dengan pengarah universiti berkenaan di Mesir dua tahun lepas dan dia telah bersetuju untuk memberikan salinan tesis dari tahun awal 1900. Ia amat penting untuk rujukan di peringkat nusantara,” katanya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar kerajaan negeri menjadikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai dasar perundangan dan sebagainya di negeri ini.
Persidangan dewan bersambung esok.

— BERNAMA