Pilih Bahasa

Negara kehilangan seorang rakyat Malaysia hebat: Lim

Oleh Chris Maskilone

KUALA LUMPUR: Negara kehilangan seorang rakyat Malaysia yang hebat dengan pemergian mengejut Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata Wong merupakan seorang pekerja politik yang begitu dedikasi untuk kesejahteraan dan kegemilangan Malaysia dan Sabah.

Datuk Stephen Wong. Gambar Fail SNT

Lim yang juga adalah Ahli Parlimen Iskandar Putri berkata sebagai ahli parlimen Sandakan, Ketua DAP Sabah, ahli jawatankuasa pusat DAP dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Wong telah berkhidmat dengan baik

Menurutnya walaupun hanya 10 bulan menjadi seorang Menteri Penuh Sabah prestasi beliau amat baik.

Sebelum berkecimpung dalam politik, Wong merupakan seorang ahli Majlis Perbandaran Sandakan dan setiausaha agung kepada Dewan Perniagaan Tionghua Sandakan.

Sementara itu Bernama melaporkan Dewan Rakyat hari ini bertafakur dan merakam ucapan takziah kepada keluarga Anggota Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang meninggal dunia hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming mewakili Dewan Rakyat menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang Wong.

Nga menyifatkan pemergian mendiang Wong yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dan Pengerusi DAP negeri sebagai kehilangan besar buat negara dan Dewan Rakyat.

“Mendiang Wong merupakan Anggota Parlimen Sandakan sejak 2013. Jasa dan pengorbanan mendiang amat besar dan bermakna kepada negara,” katanya.-SabahNewsToday