Pilih Bahasa

Nelayan cedera ditembak ketika menangkap ikan di perairan Tawau

Oleh: Junaidi Ladjana dan Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang nelayan cedera selepas terkena tembakan lengan kanan ketika menangkap ikan di perairan berhampiran sempadan Indonesia, semalam.

Kejadian jam 12.30 tengah hari itu mangsa lelaki berusia 60 tahun bersama anak lelakinya berusia 27 tahun warga Filipina sedang menangkap ikan di perairan berkenaan sebelum didatangi sebuah bot fiber dinaiki tiga lelaki dengan memakai topeng.

Seorang daripada suspek kemudian mengacukan senjata api lalu menjerit mengarahkan mangsa untuk berhenti namun sebaliknya mangsa memecut bot dan melarikan diri.

Ketika mangsa memecut laju bot untuk melarikan diri ke Kampung Pengkalan Wakuba bagi meminta bantuan, seorang daripada tiga suspek terbabit melepaskan satu das tembakan dan mengenai lengan mangsa.

Namun mangsa sempat melarikan diri dan kini menerima rawatan di Hospital Tawau manakala suspek dipercayai melarikan diri menghala ke perairan Indonesia.

Difahamkan, semua suspek yang memakai topeng dipercayai dari negara jiran.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi Sabah News Today mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan. -SabahNewsToday