Pilih Bahasa

NETIZEN MAHU KERJASAMA SEMUA PIHAK PASTIKAN KEBERSIHAN PAWAGAM

Oleh Mohd Adam Arinin

Operasi pembersihan dewan tayangan di pawagam terbabit sedang giat dijalankan secara besar-besaran. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Orang ramai terutama yang gemar menonton wayang perlu bekerjasama dalam menjaga kebersihan dan kemudahan di sesebuah pawagam.

Langkah itu penting bagi memastikan keselesaan semua pihak semasa berada di dalam dewan tayangan serta sekitar kawasan pawagam sepanjang masa.

Seorang pengunjung, Hassan Abdul Sani, 45, berkata dia sedia maklum mengenai penutupan beberapa dewan tayangan di sebuah pawagam terkenal di Kota Kinabalu disebabkan masalah kebersihan, baru-baru ini.

“Saya maklum mengenai hal ini melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam. 

“Saya berpendapat penutupan beberapa dewan tayangan di sini adalah wajar untuk memberikan masa kepada pihak pawagam menjalankan kerja-kerja pembersihan demi keselesaan penonton,” katanya. 

Semalam, tular notis arahan penutupan bagi tujuh dewan tayangan di pawagam itu oleh Unit Kesihatan Alam Sekitar Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu berikutan pemeriksaan mendapati terdapat urungan tikus di situ.

Beberapa pengguna laman sosial turut menyebarkan notis perintah penutupan premis tersebut menerusi perkongsian WhatsApp.

Beberapa netizen berpendapat dengan notis yang dikeluarkan itu pihak pawagam diharap dapat mengambil langkah yang perlu dalam menangani isu kebersihan dalam dewan tayangan mereka. 

Terdapat juga komen yang meminta kerjasama yang baik di antara penonton dengan petugas pembersihan dewan. 

“Tidak harus dipersalahkan hanya kepada pihak pawagam sahaja. Penonton juga perlu bekerjasama dengan menjaga kebersihan dan kemudahan dalam dewan. Tamat wayang, bawa sampah itu keluar bersama dan buang ke dalam tong sampah. Bukan biarkan dilantai,” jelas netizen. – SabahNewsToday