Pilih Bahasa

NGO bantu kerajaan kukuh perpaduan melalui program kemasyarakatan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Jaujan (tengah) bersama peserta dan tetamu yang hadir pada program Run For Peace 2019 di Padang Perbandaran Tawau. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pendekatan persatuan badan bukan kerajaan (NGO) mengukuhkan perpaduan antara kaum menerusi program-program kemasyarakatan amat disambut baik pihak kerajaan negeri. 

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata pelbagai program berjaya dilaksana sehingga mampu menyemai semangat perpaduan tidak kira bangsa dan agama. 

Katanya keamanan yang lahir hasil perpaduan rakyat negeri dan negara perlu dijaga dan dikekalkan dengan mengelak pertelingkahan yang boleh membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Banyak program yang dianjurkan NGO mampu menyemai semangat perpaduan rakyat kerana untuk mendapatkan keamanaan ia bukan hanya terletak pada bahu kerajaan semata-mata tetapi setiap rakyat harus bersama bertanggungjawab menjaga keamanan. 

 “Tanpa perpaduan dan keamanan usaha membangun negeri dan negara tidak akan dapat dilakukan dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelepasan peserta larian Run For Peace 2019 di Padang Perbandaran Tawau, di sini hari ini.

Jaujan (tengah) disertai tetamu melakukan gimik perasmian Run For Peace 2019 di Padang Perbandaran Tawau. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Program berkenaan mendapat sambutan 1,800 penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan usia yang dianjurkan oleh NGO iaitu Soka Gakkai Malaysia (SGM) Tawau.

Turut hadir, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Tony Koh Kian Leong dan wakil Persatuan SGM Cawangan Sabah, Hiew Ching Fah. 

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan memberi amaran kepada pihak tidak bertanggungjawab yang gemar mencetuskan isu sensitif khususnya kaum dan agama agar menghentikan perbuatan mereka.

“Berhenti jadi orang yang suka menjadi pengacau di bumi yang aman dan damai ini, jadilah rakyat yang cintakan keamanan dan perpaduan serta menjadi pendukung kepada dasar kerajaan baharu ini.

“Sesebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum sudah tentu wujud perbezaan dalam pelbagai aspek kehidupan namun rakyat negara ini perlu melihat perbezaan itu sebagai satu keunikan,” jelasnya. – SabahNewsToday