Pilih Bahasa

Nick Tudol, Juara Lagu Anugerah Huguan Siou

Oleh Alfred Petrus

PENAMPANG: Komposer tempatan Nick Tudol mendedikasikan kemenangan Anugerah Juara Lagu Huguan Siou keempat kepada arwah bapanya.

Beliau berkata kemenangan lagu Kiva Koupusan Nu, hasil ciptaannya itu sangat bermakna buat dirinya.

Nick (tiga kanan) merakamkan gambar kenangan bersama pemenang lain. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Lagu ini saya ciptakan khas untuk bapa saya yang baru sahaja meninggal dunia.

“Sudah tentu anugerah ini sangat bermakna bagi saya pada malam ini selain menghargai sumbangan penyanyi lagu ini iaitu Fanzi Ruji,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan lagunya sebagai Juara Lagu, Anugerah Huguan Siou keempat, di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), pada Selasa.

Katanya lagu berkenaan mula dimainkan di corong radio pada 2013 dan pernah menjadi naib juara dalam Carta Lagu Popular Kadazan 2017.

Fanzi dengan lagu Kiva Koupusan Nu. Gambar SNT/Alfred Petrus

Sementara itu, Anugerah Juara Lagu Huguan Siou Keempat itu menyaksikan sembilan artis tempatan bertanding dalam tiga kategori iaitu Lagu Kadazan, Dusun dan Murut.

Melalui kemenangan di Anugerah Huguan Siou, Nick berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi.

Bagi aktegori Lagu Kadazan dimenangi, lagu Kiva Koupusan Nu nyanyian Fanzi dinobatkan sebagai juara. Tempat kedua dimenangi oleh lagu Piginavaan Titaak Mantad Savat ciptaan Cosmas Chin dan di dendangkan oleh Queennera Francine. Manakala, tempat ketiga adalah lagu plciptaan Douglas Hendry yang bertajuk Okon Koupusanku yang dinyanyikan oleh Joveya M. Jeuning.

Erdeeyona yang memenangi pertandingan tersebut dalam kategori lagu Murut. Gambar SNT/Alfred Petrus

Bagi kategori Lagu Dusun, lagu Magandad Dika nyanyian Hosiani Keewon ciptaan Ateng, Nosindualan ciptaan Ben Simon dinaynikan oleh Pauline dan Nakuro yang dihasilkan oleh Douglas Henry nyanyian Diandra Justin masing-masing dinobatkan sebagai johan, naib johan dan tempat ketiga.

Manakala, bagi Lagu Murut pula, johan disandang oleh lagu Pangkulimanan ciptaan Sharin nyanyian Erdeeyona Christopher. Naib johan iaitu lagu ciptaan Sharin juga, Lavayinku dinyanyikan oleh Nurfaziana Emran. Seterusnya tempat ketiga iaitu lagi Kalo Boh Malilianan dinyanyikan oleh Neldy Vincent Misin ciptaan Apiang Sausun.

Pemenang tempat pertama, naib johan dan ketiga setiap katehori membawa pulang hadiah bernilai RM2,000, RM1,500 dan RM1,000 berserta trofi.

Queennera dengan persembahan yang bersahaja. Gambar SNT/Alfred Petrus

Bagi Anugerah Lirik Terbaik yang membawa pulang RM500 setiap kategori dimenangi oleh Piginavaan titaak Mantad Savat (Kadazan), Nosindualan (Dusun) dan Layavinku (Murut).

Anugerah Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik pula dirangkul oleh penyanyi tempatan yang tidak asing lagi iaitu Fanzi yang membawa lagu Kiva Koupusan Nu.

Sementara itu, bagi Anugerah Jasamu Dikenang diberikan kepada Raphael Manuel (juruhebah radio siaran Kadazan), George Matuyon (diwakili isteri mendiang), Richard Joe Jimmy (juruhebah radio siaran Murut) dan Susana Basil (juruhebah siara radio Dusun: diwakili anak mendiang).

Dalam perkembangan lain, Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata KDCA akan terus menyokong penggiat seni tempatan khususnya Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).

“Kita akan pastikan anugerah ini menjadi pengisian utama Kaamatan setiap tahun agar ada kesinambungan usaha dan komitmen terhadap masa depan penggiat seni kita.

“KDCA sentiasa berusaha memartabatkan dan mahu lagu-lagu KDM menembusi peringkat antarabangsa,” jelasnya. -SabahNewsToday