Pilih Bahasa

Nur Natasha Azeze peserta tilawah Al-Quran termuda.

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Menjadi peserta termuda sepanjang Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2020 bukan penghalang buat Nur Natasha Azeze Shariman Azeze, 20, mempamerkan bacaan terbaik.

Peserta termuda Nur Natasha Azeze Shariman Azeze, 20 ketika menyampaikan Surah Ali-Imran, ayat ke 14, Juzuk tiga pada malam keempat Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2020 di Pusat Dagangan Antarabangsa Sabah (SICC), malam semalam. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tidak meletakkan sebarang harapan pada pertandingan itu, Nur Natasha Azeze berkata dirinya hanya mengharapkan persembahan bacaannya yang terbaik dan sebolehnya mahu melihat peningkatan pada bacaan sendiri.

“Kemenangan itu nanti biarlah terpulang kepada rezeki. Saya tidak mahu meletakkan sebarang harapan terlalu tinggi.

Ribuan orang membanjiri malam keempat Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2020 di Pusat Dagangan Antarabangsa Sabah (SICC), malam semalam. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya turut berharap bacaan pada malam ini mampu memberi manfaat kepada orang yang mendengarnya,” katanya ketika ditemui media sejurus selesai memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2020, di sini, malam semalam.

Menyampaikan Surah Ali-Imran, ayat ke 14, Juzuk tiga, Nur Natasha Azeze adalah peserta kelima daripada tujuh peserta majlis tilawah malam keempat yang bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Sabah (SICC)

Dalam pada itu, Nur Natasha Azeze juga adalah peserta termuda daripada 28 peserta tilawah Al-Quran tahun ini.

Berbicara mengenai persiapan bagi menyertai tilawah, anak tunggal dalam keluarga itu berkata dia rajin mengikuti kursus berkaitan yang disediakan kerajaan Negeri Sembilan.

“Selain itu, saya banyakkan membuat latihan bersama jurulatih dan kurangkan aktiviti di luar memandangkan cuaca sekarang tidak menentu.

“Sudah sampai Sabah sejak minggu lalu lagi tapi jurulatih meminta saya duduk di hotel sahaja demi menjaga kesihatan.

“Kalau makanan tiada sebarang pantang yang saya amalkan namun apabila tarikh pertandingan semakin dekat, saya cuba kurangkan pengambilan air sejuk dan tidak makan makanan berminyak,” katanya kini giat melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Bekas johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, bekas johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut meminta semua peserta melakukan yang terbaik sepanjang bertandingan berlangsung. -SabahNewsToday