Pilih Bahasa

OCEANUS WATERFRONT MALL BAKAL DIJADIKAN GEDUNG PELANCONGAN NEGERI

Christina (tiga dari kiri) dan CK Tan (tiga dari kanan) mengaul Yee Sang sempena majlis Tahun Baharu Cina di Oceanus Watefront Mall. – Bernama

KOTA KINABALU, 10 Feb (Bernama) — Pihak pengurusan Oceanus Watefront Mall sedang menimbang rancangan untuk menukarkan gedung itu menjadi gedung pelancongan negeri.

Pengerusinya Datuk CK Tan berkata pelbagai pelan pada masa depan sedang dirancang untuk merealisasikan visi itu dengan pertambahan penyewa dan program untuk menarik orang ramai berkunjung ke gedung membeli belah tersebut.

“Gedung itu masih mempunyai masa depan yang cerah, tetapi kami (penyewa) perlu bekerjasama menerusi perkongsian strategik,” katanya pada majlis meraikan Tahun Baru Cina di Oceanus Watefront Mall, di sini, hari ini.

Beliau berkata bahagian hadapan gedung itu yang menghadap laut akan dijadikan bar berstandard antarabangsa bagi pelancong dilengkapi dengan kemudahan bagi pelbagai persembahan.

Tan optimis perkara itu dapat diselesaikan meskipun pengurusan gedung itu berdepan tugas yang sukar.

“Kami menyedari kerugian berjuta-juta yang dialami oleh penyewa selama bertahun-tahun ini, tetapi ia bukan pengakhiran, kami sedang berusaha memulihkan gedung itu menjadi gedung yang menguntungkan dan dikunjungi ramai,” katanya.

Sementara itu Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata rancangan itu adalah demi kepentingan untuk menarik pelancong ke negeri ini.

“Gedung itu terletak di lokasi strategik dengan pemandangan menghadap laut, meskipun berdepan masalah, bangunan itu menarik kerana sukar untuk mencari gedung membeli belah yang menghadap laut,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Christina berkata kementeriannya berharap dapat bekerjasama dengan pemain industri pelancongan untuk merancakkan lagi industri pelancongan negeri.

–BERNAMA