Pilih Bahasa

OKK perlu mahir latihan, kemahiran memadam kebakaran

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jaujan (tiga dari kanan) merasmikan Penutupan dan Makan Malam sempena Latihan Pemantauan Kawad Organiasasi Keselamatan Kebakaran 2019. – Gambar SNT/Ihsan

KOTA KINABALU: Latihan dan kemahiran memadam kebakaran serta menyelamat mangsa merupakan aspek penting bagi pasukan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata latihan itu secara tidak langsung memberi pendedahan kepada anggota OKK dalam menghadapi situasi kecemasan yang sebenar.

“Pekerja atau kakitangan yang dilatih kaedah mencegah dan berhadapan dengan bencana kebakaran membolehkan mereka dapat menjalankan kerja secara sistematik, selamat dan efisien.

“Sudah tentu dengan adanya pengetahuan tentang cara-cara mencegah kebakaran ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jumlah kemalangan yang semakin meningkat terutamanya di premis dan bangunan berisiko,” katanya dalam ucapan perasmian Penutupan dan Makan Malam sempena Latihan Pemantauan Kawad Organisasi Keselamatan Kebakaran 2019 di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Jaujan Sambakong.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM; Datuk Amer Yusof; Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman.

Mohd Shafie berkata JBPM telah mengorak langkah membuka dimensi baharu dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sebagai fokus utama. 

Katanya antara proses atau tugasan jabatan sudah tentu untuk melaksanakan transformasi peluasan penglibatan rakyat dalam menjaga keselamatan premis dan bangunan sehingga keperluan ini dikembangkan kepada golongan pekerja dan pemilik premis atau bangunan.

“Melalui sokongan anda semua, saya yakin usaha pembudayaan keselamatan kebakaran ini akan berdaya maju khususnya di Sabah.

“Dengan pengalaman dan latihan seperti ini akan membolehkan pasukan OKK bersedia untuk memikul tanggungjawab membantu bomba dalam sebarang aktiviti kesedaran kesiapsiagaan awam dalam menghadapi sebarang kecemasan dan bencana,”  katanya. – SabahNewsToday