Pilih Bahasa

OP CEGAH ENAM JAM AADK DI EMPAT KAWASAN BANTERAS AKTIVITI DADAH

Oleh Mohd Adam Arinin

Seramai sembilan individu ditahan AADK dalam Op Cegah yang dijalankan. Lapan daripadanya positif dadah jenis syabu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: `Aku cium dulu dia…’ ungkapan terakhir seorang ibu sambil menitiskan air mata apabila melihat anak lelakinya ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah di Kampung Rampayan, Manggatal di sini malam tadi. 

Terdahulu, suspek dikenal pasti sebagai Wan berumur 22 tahun itu diberkas ketika berada dalam bilik tidur selepas penguatkuasa AADK mendapat kebenaran oleh ibunya untuk dibawa menjalani rawatan. 

Ibu suspek memeluk dan mencium anaknya sebelum dibawa oleh AADK. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ketua Operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah, Erwan Roslan berkata lelaki terbabit antara sembilan individu yang ditahan dalam Op Cegah di beberapa kampung sekitar Manggatal, Inanam, Likas dan Penampang.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati seramai lapan lelaki yang ditahan positif dadah jenis syabu. 

“Mereka yang positif termasuklah dua beradik yang ditahan atas kesalahan gagal melapor diri kepada pihak AADK,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut di pejabat AADK Kota Kinabalu.

Suspek yang ditahan berkali-kali memanggil ibunya.
– Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Operasi Cegah yang bermula pada pukul 9 malam dan berakhir enam jam kemudian disertai oleh lapan pegawai dan anggota penguat kuasa AADK negeri dan daerah. 

Menurut Erwan, seramai enam lelaki berusia 22 hingga 54 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Dua beradik berusia 32 dan 37 itu ditahan mengikut Seksyen 6(2)(c) akta yang sama atas kesalahan gagal melapor diri,” tambahnya. 

Jelas Erwan, operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh negeri dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak AADK Sabah atau daerah. – SabahNewsToday