Oleh Junaidi Ladjana
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat nelayan warga asing yang disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan bom ikan di perairan Tanjung Tavajun, Pulau Gaya di sini, malam tadi.
Dalam operasi khas ‘Op Naga Timur’ jam 7 malam itu, pam bot dinaiki empat lelaki dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan sebelum cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, usaha mereka cuba meloloskan diri gagal apabila berjaya dikejar dan ditahan pasukan Maritim Malaysia.
Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Malaysia Sabah, Komander Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, hasil pemeriksaan, bot berkenaan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan nombor pendaftaran yang sah.
“Semua awak-awak berusia 20 hingga 30-an di dalam bot berkenaan juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warganegara Filipina.

“Pada masa sama, kita turut menemui kira-kira 100 kilogram pelbagai jenis ikan di dalam bot berkenaan yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.
“Semua tangkapan dan bot kemudiannya dibawa balik ke Jeti Maritim Negeri Sabah untuk tindakan selanjutnya
Muhammad Suffian berkata, nilai keseluruhan ikan yang dirampas kali ini dianggarkan berjumlah hampir RM2,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002 serta Akta Imigresen 1963.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan meneruskan pemantauan dan risikan di kawasan perairan negara ini untuk mengekang sebarang aktiviti jenayah.
Katanya, berdasarkan tangkapan ini, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti dalang yang menjual atau membekalkan bahan-bahan bom ikan.
“Pihak APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang negara.
“Oleh itu, Maritim Malaysia memohon kerjasama komuniti maritim supaya menyalurkan sebarang maklumat atau aduan jenayah ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah menerusi talian 088-270165 untuk tindakan segera,” katanya. -SabahNewsToday