Pilih Bahasa

OP SARANG KHAS: TAHAN 77 PENAGIH SELAMA SEMINGGU

Oleh Mohd Adam Arinin

Antara suspek yang ditahan dalam serbuan di Kampung Delima, Sepanggar, baru-baru ini. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 68 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 pada operasi yang dijalankan selama seminggu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji dalam satu kenyataan berkata operasi selama seminggu itu dijalankan di Kampung Delima, Sepanggar, dekat sini.

Wang tunai, telefon bimbit serta kupon ‘Top-Up’ yang dirampas polis dari seorang suspek penagih dadah yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Daripada 68 orang yang ditahan, seramai 15 tangkapan atas kesalahan memiliki bekalan dadah dan selebihnya positif dadah hasil ujian air kencing.

“Seramai 57 penagih merupakan warga tempatan manakala selebihnya warganegara asing dari pelbagai peringkat umur dari 20 tahun sehingga 50 tahun. Kita juga telah menahan seorang kakitangan kerajaan yang disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Anggota polis ketika melakukan serbuan di Kampung Delima, Sepanggar, baru-baru ini. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 20.62 gram dadah jenis syabu dan 50.14 gram dadah jenis ketamine berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM 10,600.00.

Dalam pada itu, satu Ops Sarang Khas telah dijalankan di sekitar Kampung Tanjung Aru bagi membendung masalah penyalahgunaan dadah di kawasan perkampungan di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superitendan George Abd Rakman (kanan) pada sidang media selepas mengetuai Ops Sarang Khas di Balai Polis Tanjung Aru, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Operasi yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superitendan George Abd Rakman itu bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir tiga jam kemudian.

Hasil daripada operasi yang dijalankan, seramai 36 individu telah dibawa ke Balai Polis Tanjung Aru untuk proses dokumentasi dan ujian saringan air kencing.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu Asisten Superintendan Samsualan Samsudin (kanan) menunjukkan bekalan dadah yang dirampas dalam Op Sarang Khas di Kampung Delima, Sepanggar, baru-baru ini. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu

“Seramai sembilan orang daripadanya positif dadah manakala tiga yang lain ditahan atas kesalahann tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Salah seorang suspek lelaki yang ditahan atas kesalahan narkotik ini juga disyaki melakukan kesalahan judi atas talian berikutan penemuan beberapa peralatan untuk kegiatan judi seperti telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM 1,200.20 serta kupon ‘Top-Up’ untuk pelanggan judi,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Op Sarang Khas sekitar Kampung Tanjung Aru, di sini.

Operasi khas ini akan diteruskan sepanjang minggu sekitar kawasan pentadbiran IPD Kota Kinabalu dan lokasi serbuan akan berubah dari semasa ke semasa.

Menurut George, maklumat daripada masyarakat setempat amatlah dialu-alukan oleh pihak polis bagi membendung masalah ini di kawasan tempat tinggal mereka.

“Saya juga berharap operasi-operasi yang dijalankan oleh polis mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak. Kita sedia maklum bahawa dadah merupakan salah satu musuh utama negara.

“Justeru, kerjasama ini amat penting kepada kita untuk berganding bahu dalam membanteras jenayah dadah ini,” tambahnya. -SabahNewsToday