Pilih Bahasa

OP SELAMAT 14 DILANCARKAN; POLIS SABAH PATAHKAN SINDIKET BOM IKAN

Oleh Mohd Adam Arinin

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah (tengah) melancarkan Op Selamat 14 Sempena Tahun Baru Cina 2019 di Suria Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sebanyak 30 kawasan ‘Hotspot’ kemalangan jalan raya di Sabah menjadi tumpuan dalam Op Selamat Ke-14 sempena perayaan Tahun Baru Cina ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata kawasan itu dikategorikan berisiko berdasarkan statistik kadar kemalangan termasuk kemalangan maut di kawasan terbabit sepanjang tahun lepas.

“Daripada 30 ‘hotspot’ ini, pihak polis telah mengenalpasti di beberapa lokasi tertentu di 20 buah daerah di negeri ini.

“Antaranya di daerah Penampang, Kota Kinabalu, Beaufort, Tuaran juga di Sandakan dan Lahad Datu. Kawasan-kawasan ini sering kali berlakunya kejadian kemalangan jalan raya termasuk yang kemalangan maut.” katanya pada sidang media melancarkan Op Selamat 14 Sempena Tahun Baru Cina 2019 di Suria Sabah, di sini, hari ini.

Menurut Omar, Op Selamat ini dijalankan selama 15 hari bermula esok sehingga 12 Feb depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah menyerahkan topi keledar kepada penunggang motosikal pada Majlis Pelancaran Op Selamat 14 Sempena Tahun Baru Cina 2019 di Suria Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Operasi ini turut disertai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta beberapa jabatan lain yang akan membantu pihak PDRM dalam melaksanakan operasi ini,” katanya.

Tambah Omar, operasi yang dijalankan diharap mendapat kerjasama orang awam khususnya pengguna jalan raya.

“Saya juga menasihatkan pengguna jalan raya yang akan balik kampung halaman untuk memastikan rumah dikunci sebelum meninggalkan rumah.

“Pihak polis juga menyediakan borang makluman balik kampung yang diisi oleh pemilik rumah yang meninggalkan rumah masing-masing dan menyerahkan ke balai polis terdekat.” tambahnya.

ENAM INDIVIDU DITANGKAP TERLIBAT JENAYAH BOM IKAN

Dalam perkembangan lain, Cawangan Khas Sabah dan Bukit Aman telah melancarkan satu operasi khas ke atas sindiket penyeludupan bahan letupan dan kakisan untuk pembuatan bom ikan sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud.

“Operasi ini dijalankan secara bersepadu dengan Unit Tindak Khas (UTK) dan Tiger Plaroon dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah.

“Hasil risikan dan pemantauan secara berterusan yang dilakukan, pihak polis telah menggempur beberapa lokasi antaranya di perkampungan atas air Kampung Pondo, Pulau Gaya, dan Pulau Mantanani, di Kota Belud,” jelasnya.

Tambah Omar, operasi ini dibuat berikutan kejadian cubaan merompak sebuah kedai emas menggunakan bom ikan yang berlaku akhir Disember tahun lepas.

Dalam pada itu, seramai enam individu termasuk seorang wanita disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (Pindaan 2014) 1958.

“Daripada enam yang ditangkap, lima orang merupakan warganegara Malaysia manakala seorang warganegara Filipina. Kesemua mereka telah ditahan dan dituduh dibawah Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.” tambahnya. -SabahNewsToday