Pilih Bahasa

Operasi Ketam pungut tunggakan hampir RM16 juta di Tawau

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau akan menjalankan Operasi Ketam bagi menangani bagi menangani isu tunggakan cukai taksiran atau cukai pintu bernilai hampir RM16 juta sebelum ini.

Presidennya, Datuk Ir Amrullah Kamal berkata Tawau mengalami banyak tunggakan berikutan segelintir pemilik rumah atau pemilik perniagaan gagal membayar cukai mengikut tempoh yang ditetapkan.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ir Amrullah Kamal. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Operasi ini akan dijalankan dalam masa terdekat. Operasi Ketam digunakan supaya kita dapat menarik orang ramai menjelaskan tunggakan demi kebaikan bersama.

“Jika kita mampu untuk menangani tunggakan itu maka akaun kita boleh menjadi positif semula dan kita mempunyai kewangan untuk membangunkan daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Makan Malam Mesra dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, di sebuah hotel, dekat sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, dan wakil-wakil rakyat.

Amrullah berkata objektif untuk beliau menerajui Tawau adalah untuk membangunkan daerah ini ke tahap yang lebih baik.

Bagi merealisasikan objektif itu, beliau mencari kaedah untuk menyediakan kewangan sebelum pembangunan-pembangunan yang lebih pesat dijalankan.

“Sebelum pembangunan lebih pesat dijalankan, kita perlu menyelesaikan masalah-masalah sedia ada dialami di daerah ini seperti banjir, masalah jalan raya, air, dan perkhidmatan pembentungan.

“Jadi untuk memastikan masalah ini tidak lagi berulang, kita memerlukan banyak kewangan. Oleh itu kita kena ada pemikiran luar dari kotak untuk tangani masalah ini,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai tunggakan untuk menjelaskan dalam masa terdekat sebelum tindakan diambil terhadap individu terbabit.

“Jika gagal membayar, individu berkenaan akan disenarai hitam Credit-Tip-Off (CTOS) dimana mereka tidak lagi boleh membuat pinjaman.

“Selain itu, bagi mereka yang memiliki perniagaan, kita juga akan menyekat mereka daripada memperbaharui lesen perniagaan atau sebagainya. Jika sudah membayar tunggakan barulah mereka dapat perbaharuinya,” jelasnya. – SabahNewsToday