Pilih Bahasa

Update: Operasi SAR sembilan kru bot nelayan Brunei hilang ditamatkan

Oleh Junaidi Ladjana

Anggota Maritim Malaysia mengangkat mangsa nelayan Brunei yang ditemui selamat. – Gambar SNT/Ihsan APMM

KOTA KINABALU: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan kru bot nelayan Brunei yang dilaporkan hilang di perairan negeri ini, pada 7 Ogos lalu ditamat petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Hassan berkata, operasi SAR ditamatkan pada pukul 6.40 petang tadi selepas tiada sebarang penemuan kru bot nelayan bot Brunei di sektor pencarian.

“Operasi SAR telah dilaksanakan namun tiada sebarang penemuan di sektor pencarian.

“SAR telah ditamatkan dan akan diaktifkan semula sekirannya menemui petunjuk baharu,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini

Pada 7 Ogos lalu, Maritim Malaysia melaksanakan SAR sembilan kru bot nelayan Brunei selepas menerima maklumat daripada National Search And Rescue Coodination Committe (NSRCC) Brunei memohon bantuan mengesan 11 nelayan mereka yang dikhuatiri hanyut dan mereka mengaktifkan SAR pada hari sama.

Tengah hari semalam, sebuah bot nelayan tempatan menyelamatkan dua kru bot nelayan Brunei sekitar 10 batu nautika dari Pulau Tiga.

Dua kru bot nelayan Sakur Ahing Jupli, 38, Filipina dan seorang lagi kru yang selamat belum dikenal pasti identitinya diserahkan kepada Maritim Malaysia sebelum menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Kru bot yang belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia manakala Sakur Ahing, masih menerima rawatan dan dilaporkan stabil pada pukul 2.28 pagi tadi.

Sembilan kru bot yang belum ditemui kemungkinan lemas terdiri daripada warga Filipina iaitu Naseer Ketugi Abdullah, 39, (Juragan); Sarri Ahing Ibno, 50; Anthony Tornales Dionaldo, 51; Nor Jehad Makakena Abdullah, 27; Cesar Masalihiat Llurag, 54, dan Mujib Intimani Alli, 43.

Empat lagi kru ialah warga Indonesia dikenali pasti sebagai Idris, 43; Agus Hariyanto, 39; Rusli Yusanto, 38 dan Glori Dwi Santoso, 24. – SabahNewsToday