Pilih Bahasa

Operasi Sar warga emas dihanyutkan arus sungai diteruskan

Oleh Alfred Petrus

SIPITANG: Operasi mencari dan menyelamat (Sar) dilancarkan terhadap seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya hanyut di sungai Muaya Kampung Mendulung sejak kelmarin (14 Julai).

Laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyatakan ketika kejadian mangsa memandu kenderaan jenis Toyota Land Cruiser itu dibawa arus sungai yang deras semasa cuba menyeberangi jambatan aras rendah yang ditenggelami air.

Kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa ditemui 100 meter dari jambatan low level di Kampung Mendulung kelmarin. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Sar kenderaan dan mangsa dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga pukul 1.09 pagi sehingga ditangguh dan disambung pada pukul 6.28 pagi hari ini.

“Kenderaan mangsa, 64, berjaya ditemui hari ini kira-kira 100 meter dari jambatan tersebut dan mangsa didapati tidak berada di dalam kenderaan tersebut.

“Maklumat awal dari orang awam, mangsa berada dalam kenderaan beliau ketika dihanyutkan air sungai deras,” menurut laporan PGO, hari ini.

Tambahnya operasi Sar diteruskan dengan bantuan penduduk kampung.

Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang menerima kecemasan tersebut kira-kira pukul 9.40 malam kelmarin. -SabahNewsToday