Pilih Bahasa

Ops Bersepadu PTI, 15 ditahan atas kesalahan tanpa dokumen dan dadah

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seramai 15 orang lelaki ditahan dalam satu Operasi Bersepadu Pendatang Tanpa Izin (PTI) pada Sabtu malam.

Ketika operasi berkenaan, seramai 41 orang yang diperiksa dan mendapati 13 orang PTI termasuk seorang kanak-kanak kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Salah seorang suspek yang ditahan. Gambar SNT/Ihsan Polis

Manakala, dua suspek warga tempatan lain ditahan kerana kesalahan dadah iaitu didapati positif ketika ujian pantas urin yang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata tangkapan PTI dibuat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tambahnya bagi tangkapan kesalahan penagihan dadah disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kejayaan tersebut adalah melalui operasi yang dijalankan di lima lokasi sekitar Kota Kinabalu iaitu Manggatal, Likas, Bukit Nenas, Inanam dan Cenderakasih Metro Town, Luyang.

Antara individu yang diperiksa dalam operasi berkenaan. Gambar SNT/Ihsan Polis

“Tumpuan lokasi operasi yang dijalankan adalah kawasan bandaraya yang mana kadar pertumbuhan pendatang asing tanpa izin yang mengundang kepada kegiatan jenayah di Kota Kinabalu.

“Anggaran umur tangkapan adalah dalam lingkungan 14 hingga 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -SabahNewsToday