Pilih Bahasa

Ops Cegah AADK tahan 22 penagih

Oleh Junaidi Ladjana

KUDAT: Seramai 22 penagih ditahan dalam Ops Cegah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di tiga lokasi di daerah ini, kelmarin.

Operasi bermula jam 10 pagi dan berakhir 3 pagi itu disertai 11 anggota AADK Kudat dan Negeri yang diketuai oleh Erwan Roslan.

Seramai 22 penagih ditahan dalam Ops Cegah di Kudat. Gambar SNT/Ihsan AADK

Ketua Pegawai AADK Kudat, Fazilawati Aji berkata tumpuan operasi membabitkan tiga lokasi iaitu Kampung Tanjung Kapur, Kampung Pengaraban dan Kampung Muhibbah.

“Seramai 23 individu ditahan dan saringan awal air kencing mendapati 22 lelaki positif dadah jenis syabu.

“Ketika operasi seorang penagih cuba terjun dari tingkap untuk melarikan diri namun gagal apabila berjaya ditahan penguat kuasa AADK,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fazilawati berkata, semua 22 penagih yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Kudat dan permohonan reman dilakukan di Mahkamah Majistret Kudat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki penagih dadah.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Kudat di talian 088-611767 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya. -SabahNewsToday