Pilih Bahasa

Ops Inter Agensi tahan empat PTI Filipina

Oleh Junaidi Ladjana

Anggota PPM Kota Kinabalu dan Jabatan Imigresen menjalankan pemeriksaan ke sebuah bot dalam Ops Inter Agensi di perairan Sepanggar, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan PPM

KOTA KINABALU: Empat pendatang asing tanpa izin (PTI) warga Filipina ditahan dalam satu Ops Inter Agensi di perairan Sepanggar, di sini semalam.

Empat lelaki berusia 19 hingga 24 tahun ditahan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu dan Jabatan Imigresen Sabah, kira-kira pukul 11 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata operasi dijalankan di tiga lokasi di perairan Sepanggar iaitu Jeti Jualan Diesel Bersubsidi Persatuan Nelayan Kawasan Kota Kinabalu, Kampung Lubuk Poring dan Sepanggar. 

“Empat lelaki diperiksa dan didapati semua suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Malah ketika disoal siasat oleh pegawai Jabatan Imigresen, keempat-empat mereka mengakui secara lisan bahawa berasal dari Kagayan, Filipina,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Empat PTI warga Filipina ditahan dalam Ops Inter Agensi di perairan Sepanggar, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan PPM

Mohamad Pajeri berkata, semua suspek kemudian dibawa oleh Jabatan Imigresen Sabah untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu beliau berkata, tujuan Ops Inter Agensi ini dijalankan untuk membanteras isu PTI yang semakin berleluasa. 

Justeru katanya, masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan dengan jenayah, lain-lain kesalahan atau sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negeri ini disarankan supaya membuat laporan polis di palai polis berdekatan atau salurkan terus ke pejabat PPM Kota Kinabalu ditalian 088-310289.

Terdahulu, operasi itu membabitkan 29 anggota termasuk pegawai PPM dan dan Jabatan Imigresen Kota Kinabalu dan turut terbabit dua aset bot PPM. – SabahNewsToday