Pilih Bahasa

Ops Pasir terus dilaksana banteras jenayah rentas sempadan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Operasi Pasir akan terus dilaksana bagi mengekang sebarang kejadian tidak diingini berlaku di sekitar perairan negara terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan jenayah rentas sempadan.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Haji Mohd Zuki berkata pihaknya sentiasa bersiap-siaga dalam operasi berkenaan dengan kerjasama daripada organisasi-organisasi keselamatan lain seperti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Seramai 105 anggota dan lima pegawai bergambar kenangan sempena majlis Perbarisan Serah Terima Tugas Komander Angkatan Tugas Bersama (ATB2). Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Saya harap dengan tugas yang kami lakukan ini dapat memberi masyarakat tidur dengan lebih lena tanpa ancaman atau kejadian yang tidak diingini berlaku di negara kita.

“Anggota dan pegawai saya dilihat turut memiliki kesiap-siagaan yang tinggi dalam menjaga keselamatan negara khususnya sempadan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perbarisan Serah Terima Tugas Komander ATB2, di Padang Kawad Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Kukusan, hari ini.

Serah terima tugas antara Mejar Jeneral Datuk Zarondin Md Amin (kanan) menyerahkan nota serah terima tugas tampuk pemerintahan sebagai Komander ATB2 kepada Brigadier Jeneral Johari Mohd Jaafar (kiri) yang disaksikan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Haji Mohd Zuki. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Suhaimi dalam pada itu berkata tindakan sesetengah individu yang melabel anggota tentera seperti tidak bekerja menyifatkan mereka tidak bersekolah dan kurang arif berkaitan penugasan dalam tentera.

“Itu pandangan individu, mungkin dia tak bersekolah atau kurang arif tetapi kita harap ianya tidak lagi berlaku kerana kita ini anggota tentera yang profesional, kita akan jaga negara ini dan akan meneruskan tugas diamanahkan,” jelasnya.

Terdahulu, perbarisan serah terima tugas itu menyaksikan Mejar Jeneral Datuk Zarondin Md Amin menyerahkan tampuk pemerintahan sebagai Komander ATB2 kepada Brigadier Jeneral Johari Mohd Jaafar.

Acara kemudian diteruskan dengan menandatangani nota serah terima tugas dan penyerahan tongkat kuasa Komander ATB2.

Zarondin mula berkhidmat sebagai komander selama tiga tahun bermula tahun 2017 dan akan bertukar keluar dengan menjawat jawatan yang baharu iaitu Asisten Panglima Bahagian Pasukan Simpanan. – SabahNewsToday