Pilih Bahasa

OPS PUSAT HIBURAN BERSEPADU TUMPASKAN AKTIVITI DADAH DAN GRO

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Lima lelaki dan tiga perempuan ditahan kerana disyaki positif dadah dalam satu Ops Pusat Hiburan Bersepadu (Noda/Cantas/Tapis) di salah sebuah pusat hiburan sekitar bandaraya, di sini, hari ini.

Kesemua tahanan tersebut terdiri daripada warga tempatan yang berumur antara 28 hingga 39 tahun akan diambil tindakan di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Antara individu yang diperiksa ketika operasi berkenaan. Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata penahanan tersebut dibuat selepas menjalankan saringan ujian air kencing terhadap tujuh lelaki dan 20 perempuan di premis terbabit.

Sementara itu, ketika Ops Pusat Hiburan Bersepadu terhadap sebuah premis hiburan yang disyaki beroperasi melebih masa yang ditetapkan mendapati premis terbabit masih memainkan muzik dengan kuat dan terdapat para pengunjung lelaki dan perempuan masih berhibur.

Dalam pada itu, daripada 33 individu yang diperiksa, dua lelaki tempatan berumur 34 dan 39 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis Serta Deejay Muzik telah ditangkap bersama rampasan peralatan muzik kerana beroperasi melebihi masa yang ditetapkan.

Pusat hiburan yang beroperasi lebih masa diserbu. Gambar SNT/Ihsan Polis

Selain itu, serbuan pusat hiburan yang memegang lesen perniagaan sah itu berjaya menahan seorang perempuan tempatan berumur 36 tahun yang disayki pengurus gadis pelayan (GRO) kerana disyaki menggajikan warganegara asing tanpa permit kerja sah GRO.

Operasi tersebut juga berjaya menahan tiga orang perempuan berumur 21, 24 dan 28 tahun iaitu seorang warga filipina dan dua warga Indonesia disyaki sebagai GRO tanpa permit kerja yang sah.

“Selain peralatan muzik premis tersebut, polis turut merampas sekeping salinan lesen hiburan, salinan lesen berniaga, sebuah buku yang tercatat senarai nama pekerja, nombor bilik dan masa keluar masuk, tiga keping kad pekerja, enam keping resit pembayaran atas nama pekerja serta wang tunai berjumlah RM1,120.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958 keranan beroperasi lebih masa, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana menggajikan warganegara asing tanpa permit yang sah bekerja sebagai GRO dan Seksyen 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana disyaki bekerja sebagau pelayan wanita (GRO) tanpa permit kerja yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad. -SabahNewsToday