Pilih Bahasa

OPS SARANG: 13 INDIVIDU DITAHAN TERLIBAT AKTIVITI DADAH

Oleh Alfred Petrus

Antara individu yang ditangkap dalam Ops Sarang. – Gambar SNT/Ehsan PDRM

KOTA KINABALU: Seramai 13 individu ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dan penagihan dadah dalam Ops Sarang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) dan Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, semalam.

Kesemua suspek berumur antara 14 hingga 60 tahun itu ditahan menerusi pemeriksaan yang dijalankan ke atas seramai 35 individu termasuk 32 lelaki dan tiga wanita di dua lokasi berbeza iaitu Lembaga Padi Inanam dan Kampung Bakau Likas.

Dadah jenis syabu seberat 10.71 gram yang dirampas dalam Ops Saran di Inanam dan Likas. – Gambar SNT/Ehsan PDRM

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata hasil pemeriksaan itu pihaknya berjaya menangkap 11 lelaki dan dua perempuan atas beberapa kesalahan.

“Pihak polis juga telah membuat rampasan tiga paket plastik lut sinar berbagai saiz berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Jumlah rampasan dadah adalah seberat 10.71 gram bernilai RM1,600. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) AKta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Antara 46 individu ditahan dalam operasi narkotik selama seminggu sejak 2 Februari lalu. – Gambar SNT/Ehsan PDRM

Terdahulu, Habibi berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Kinabalu berjaya menahan seramai 47 individu mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam operasi yang dijalankan bermula 2 Februari lalu di sekitar Sembulan dan bandar raya Kota Kinabalu.

Menurutnya kesemua tangkapan melibatkan kesalahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Daripada jumlah tangkapan yang dibuat, seramai lapan orang ditangkap atas kesalahan memiliki dadah dan 39 orang bagi kesalahan urin.

“Melalui tangkapan tersebut juga, seramai 34 orang adalah warga tempatan dan 13 warga asing yang berumur antara 15 hingga 50 tahun,” katanya.

Tambahnya usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah sekitar Kota Kinabalu akan diperhebat dan diperkasakan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan serta ketenteraman awam.

Katanya orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkenaan kegiatan jenayah narkotik dalam usaha pembanterasan jenayah itu berleluasa di Kota Kinabalu. – SabahNewsToday