Pilih Bahasa

Orang awam diingatkan tidak keluar kenyataan berbaur perkauman; 10 orang ditahan di Ranau

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Orang awam diingatkan agar tidak menularkan sebarang kenyataan berbaur perkauman serta hasutan dalam memeliharaan keamanan di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata pihaknya mendapati wujud beberapa pihak cuba menimbulkan suasana seumpama itu di laman sosial ekoran insiden pergaduhan rakyat tempatan dan warga asing sejak akhir-akhir ini.

Omar (dua dari kanan) menunjukkan senjata yang dirampas dalam pergaduhan di Ranau, baru-baru ini. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Omar berkata pihaknya mengesan pelbagai kenyataan menerusi laman sosial dan aplikasi telefon pintar dipercayai cuba memainkan isu perkauman hingga mampu mencetuskan kekacauan di negeri ini.

“Pergaduhan yang berlaku di Ranau pada Ahad minggu lalu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

“Kita bimbang perkara ini boleh mengakibatkan keadaan tidak terkawal sehingga mengancam keselamatan orang awam.

“Komen mahupun kenyataan negatif seumpama ini juga boleh mengundang rasa kebencian sehingga wujud ketegangan antara penduduk,” katanya.

Parang yang digunakan dalam insiden pergaduhan di Ranau baru-baru ini. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Omar menyatakan pihaknya juga sudah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan awal agar dapat menangani masalah berkenaan daripada terus berleluasa sehingga sukar dikawal.

Beliau berkata individu yang melakukan sebarang penyebaran kenyataan berbaur perkauman boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 2018.

Sementara itu, mengulas lanjut berkaitan mengenai insiden pergaduhan di Ranau baru-baru ini, beliau menyatakan pihaknya sudah menahan 10 individu membabitkan lima warga asing dan tempatan.

“Pergaduhan adalah berpunca daripada salah faham antara seorang lelaki warga asing berusia 18 tahun bersama lelaki tempatan berusia 22 tahun.

“Dalam kejadian ini, lelaki tempatan terbabit dikatakan menumbuk lelaki warga asing, namun pergaduhan terhenti disebabkan mangsa ada bersama isterinya.

“Bagaimanapun, sehari selepas pergaduhan berkenaan, warga asing itu bersama rakannya bertemu lelaki tempatan yang menyerangnya untuk bertanyakan punca dia ditumbuk.

“Pergaduhan kembali tercetus dan hasil siasatan polis berjaya menahan semua suspek berusia 14 hingga 46 tahun,” katanya. -SabahNews Today