Pilih Bahasa

Orang ramai digesa guna sepenuhnya perkhidmatan Perkeso

SANDAKAN, 16 Jan (Bernama) — Orang ramai digesa supaya mengambil peluang sepenuhnya daripada pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), terutama dalam keadaan apabila ada anggota keluarga meninggal dunia yang merupakan pencarum kepada agensi itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri Elopura Calvin Chong berkata beliau memandang serius kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh anggota sesebuah keluarga apabila salah seorang anggotanya, terutama yang menyara kehidupan keluarga itu, meninggal dunia.

“Perkeso boleh memberi pertolongan, bagi membantu meringankan beban keluarga malang itu, terutama selepas kehilangan punca pendapatan apabila anggota keluarga itu yang menyara hisup keluarga itu meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya baru-baru ini beliau bersama pasukan Perkeso Sandakan yang diketuai pengurus daerahnya Mariam Hassan melawat dua keluarga yang dirundung malang selepas anggota keluarga yang menyara kehidupan keluarga itu meninggal dunia, dan beliau amat terharu dengan nasib mereka.

Katanya beliau telah menyampaikan bayaran pencen dan belanja pengebumian kepada seorang balu dengan 12 anak yang masih bersekolah yang kehilangan suami akibat kanser, dan seorang nenek dengan dua cucu yang hilang punca pendapatan apabila anak lelaki nenek itu meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya.

— BERNAMA