Pilih Bahasa

Orang ramai diminta berhati-hati, SESB tidak buat pemeriksaan pendawaian dalam premis

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memberi peringatan kepada pengguna agar berwaspada dengan individu yang menyamar sebagai anggotakerja SESB untuk membuat pemeriksaan sistem pendawaian dalaman premis.

Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) SESB, Hjh. Chendramata Hj Sinteh berkata kerja-kerja pendawaian dalaman premis hanya boleh dilakukan oleh seorang yang LM mempunyai sijil pendawaian dan kompeten yang sah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan buat masa ini juga skop pendawaian dalaman tidak termasuk di dalam skop kerja-kerja senggaaraan SESB. 

Beliau berkata demikian dalam mengulas satu kenyataan akhbar berikutan laporan polis menyatakan seorang lelaki menyamar sebagai anggotakerja SESB telah memasuki premis pengguna di Kampung Peniang Tuaran pada Rabu lalu untuk memeriksa sistem pendawaian dalaman rumah.

Penyamar dilaporkan telah mencuri barangan milik pengguna dan disedari oleh pengguna setelah penyamar beredar dari rumah pengguna.

“Difahamkan suspek adalah seorang lelaki dan datang ke rumah mangsa serta memperkenalkan diri sebagai anggotakerja SESB dan mahu memeriksa sistem pendawaian rumah,” katanya.

Pada masa yang sama Chendramata menegaskan SESB tidak pernah melantik mana-mana pihak luar bagi menjalankan kerja-kerja penukaran meter elektrik kerana semua kerja terbabit dilaksanakan sendiri oleh anggota kerja SESB.

Selain itu, mengulas mengenai bil elektrik, kata beliau, semua bayaran bil elektrik cuma boleh dibuat di kaunter perkhidmatan SESB, kiosk dan pejabat-pejabat utama SESB dan beberapa agensi perbankan yang dilantik. Manakala bagi pembayaran perkhidmatan lain hanya boleh dibuat di kaunter SESB.

Menurutnya, warga kerja SESB juga tidak dibenarkan sama sekali menerima sebarang bayaran berbentuk tunai walaupun bagi pihak syarikat.

Sehubungan itu beliau meminta pengguna menghubungi polis jika mereka didatangi oleh individu yang mencurigakan dan meminta bayaran bagi sebarang perkhidmatan berkaitan dengan pendawaian dalaman ataupun kerja-kerja pembaikan pada kotak jangka (meter box) di premis.-SabahNewsToday