Pilih Bahasa

ORANG RAMAI PERLU AMBIL PELUANG PROGRAM HARI BERTEMU PELANGGAN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Orang ramai digesa mengambil peluang berurusan dengan agensi kerajaan dalam setiap penganjuran program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan pada masa akan datang.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri, Kamal Pardi berkata program itu dilihat sebagai one-stop centre yang mana pelanggan berpeluang untuk berurusan secara terus dengan semua jabatan dan agensi tanpa perlu hadir ke pejabat berlainan lokasi.

Kamal (kiri) berbual bersama salah seorang pelanggan yang hadir sempena Program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pembangunan Sumber Manusia di Wisma Perkeso. – Gambar SNT/Ihsan JTK Sabah

“Tambahan pula ini adalah peluang yang jarang diperolehi kerana ketua-ketua jabatan dan agensi sendiri turun bersama program dan pelanggan mendapat jawapan secara terus daripada jabatan atau agensi berkaitan.

“Program akan dibuat setiap Selasa seperti mana yang dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Bertemu Pelanggan di lobi Wisma Perkeso Tanjung Aru di sini semalam.

Kamal (dua dari kiri) bertemu dengan orang ramai yang hadir pada Program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pembangunan Sumber Manusia di Wisma Perkeso. – Gambar SNT/Ihsan JTK Sabah

Kamal berkata jabatan itu akan mengadakan hebahan dari masa ke semasa bagi mempromosikan program itu kepada orang ramai.

Kamal (empat dari kiri) semasa merasmikan Program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pembangunan Sumber Manusia di Wisma Perkeso. – Gambar SNT/Ihsan JTK Sabah

Menurutnya objektif program itu bertujuan merakyatkan perkhidmatan awam seterusnya agar jabatan itu lebih rapat dengan masyarakat untuk membantu permasalahan dan isu yang dihadapi selain menjawab segala persoalan berkaitan Kementerian Sumber Manusia. – SabahNewsToday