Pilih Bahasa

Oswald Sufi juara Pertandingan Bontugan Songkotoun 2019

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Oswald Sufi (dua dari kanan) bersama pemenang naib juara, Christopher Janikol (tiga dari kanan) dan pemenang tempat ketiga, James Mojolou (kanan) bersama hadiah kemenangan masing-masing di Penampang. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Pertandingan Bontugan Songkotoun peringkat negeri 2019 menyaksikan Oswald Sufi dinobatkan juara keseluruhan sekaligus membawa pulang wang tunai RM1,200, trofi dan sijil penyertaan.

Berlangsung di dewan terbuka Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), naib juara dimiliki Christopher Janikol manakala tempat ketiga diberikan kepada James Mojolou yang mana masing-masing memenangi wang tunai RM1,000 dan RM800 selain trofi serta sijil penyertaan.

Persembahan terbaik pula dimenangi Mary Maureen Kinjau menerusi lagu Ondom Ku Tadau Koniab yang turut memperolehi wang tunai sebanyak RM200, trofi dan sijil penyertaan.

Ewon (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan Bontugan Songkotoun peringkat negeri 2019 di Penampang. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Disertai oleh tujuh peserta berumur 60 tahun ke atas, penerima saguhati menerima wang tunai RM200 dan sijil.

Acara penyampaian hadiah dan perasmian disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick, semalam.

Bontugan Songkotoun adalah penjenamaan semula bagi pertandingan Hozou Songkotoun yang dianjurkan setiap kali tibanya sambutan Pesta Kaamatan.

Ewon (dua dari kanan) bersama pemenang pertandingan Bontugan Songkotoun peringkat negeri 2019 di Penampang. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Pengerusi Jawatankuasa Persembahan Kesenian, Pesta Kaamatan peringkat Negeri 2019, Terrance Siambun berkata terdahulu pertandingan berkenaan menjadi salah satu kategori bagi Sugandoi termasuklah kategori terbuka dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya membuat kelainan tahun ini dengan mengembangkan kategori veteran itu sebagai salah satu pertandingan utama selain Sugandoi.

“Kita berpendapat sudah tibanya untuk kita memberikan pengiktirafan kepada golongan penyanyi veteran ini.

Ewon (tengahn) menurunkan tandatangan pada plak sebagai gimik perasmian pertandingan Bontugan Songkotoun peringkat negeri 2019 di Penampang. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Oleh itu, penganjuran secara berasingan ini akan membolehkan ia menjadi salah satu acara utama pada Pesta Kaamatan peringkat negeri tahun ini,” katanya.

Terrance berkata pertandingan itu mempunyai kelebihan tersendiri untuk dipromosikan dalam kalangan masyarakat setempat merangkumi pelbagai lapisan etnik tanpa mengira umur. – SabahNews Today