Pilih Bahasa

PAADIAN rancang pembinaan Kompleks Kadayan di Sipitang

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Dr Yusof pada sidang media selepas pelancaran Kejohanan Golf Kadayan SeBorneo, Pertandingan Golf Amal dan Makan Malam Amal Paadian 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Rancangan pembinaan Kompleks Kadayan di Sipitang yang dijangka dilaksanakan pada tahun depan dijangka mampu merancakkan ekonomi daerah berkenaan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi merangkap Presiden Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN), Datuk Dr Yusof Yacob berkata binaan kompleks itu kelak bakal menjadi pusat sehenti kepada penduduk setempat berikutan dilengkapi pelbagai kemudahan.

Dr Yusof memperincikan maklumat mengenai pelancaran Kejohanan Golf Kadayan SeBorneo, Pertandingan Golf Amal dan Makan Malam Amal Paadian 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Yusof berkata kompleks berkenaan dijangka dilengkapi infrastruktur termasuklah kedai, salon kecantikan, spa, tempat cuci kereta dan sebagainya.

“Kompleks itu juga dilengkapi ruangan untuk melangsungkan majlis pernikahan selain ruang jamuan. Kita turut merancang mewujudkan inap desa di kawasan sama bagi memudahkan ahli keluarga yang mengadakan majlis di tempat itu.

“Setakat ini, kita sudah mengenalpasti tapak yang bersesuaian namun kos pembinaan keseluruhan masih belum diketahui,” katanya ketika sidang media Kejohanan Golf SeBorneo, Golf Amal dan Makan Malam Amal PAADIAN 2019, di sini hari ini.

Dr Yusof Yacob. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Kejohanan Golf SeBorneo bakal berlangsung pada 6 Julai manakala Golf Amal serta Makan Malam Amal PAADIAN 2019 dijangka pada 14 September hadapan.

Dalam pada itu, Dr Yusof berkata pihaknya menjangkakan Sipitang akan pesat membangun dalam jangka masa lima tahun ini dengan wujudnya beberapa projek mega selain pertambahan populasi mencecah 10,000 orang di daerah ini.

Menurutnya, daerah terbabit turut terdapat dua buah kolej baharu bakal dibuka iaitu Kolej Profesional MARA dan Institut Minyak dan Gas Antarabangsa sekaligus menyumbang peningkatan bilangan penduduk sekitar 1,000 orang.

Dr Yusof menunjukkan poster Kejohanan Golf Kadayan SeBorneo, Pertandingan Golf Amal dan Makan Malam Amal Paadian 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Lembuh raya Pan Borneo siap siap dalam masa satu hingga dua tahun ini juga pasti akan mendorong pertumbuhan pelbagai industri di daerah itu memandang perjalanan akan menjadi semakin mudah terutama bagi mereka daripada Kota Kinabalu, Sarawak dan Brunei.

“Oleh itu, kita kena bersedia membuat pelbagai kemudahan kepada setiap pengunjung yang memilih Sipitang sebagai salah satu destinasi persinggahan sekaligus meningkatkan industri pelancongan di daerah terbabit,” katanya. – SabahNews Today