Pilih Bahasa

PACUAN EMPAT RODA TERBABAS MENGELAK KERBAU

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Kereta Toyota Fortuner terbalik dengan lima orang didalam di Kampung Nukahan, Kuala Penyu. Gambar SNT/Ehsan PGO Bomba

KUALA PENYU: Sepasang suami isteri warga emas melalui detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki bersama tiga cucu terbalik dalam kemalangan di Simpang Kuala Penyu-Klias, Kampung Nukahan, Kuala Penyu, sebentar tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 7.30 petang itu, pemandu dan isterinya hanya mengalami kecederaan ringan dibahagian kepala manakala tiga lagi cucu mangsa tidak cedera.

Anggota bomba memberikan rawatan awal kepada salah seorang mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Simpang Kuala Penyu-Klias, Kampung Nukahan, Kuala Penyu, sebentar tadi. Gambar SNT/ Ehsan PGO Bomba

Kenderaan jenis Toyota Fortuner berwarna putih dengan nombor pendaftaran Wilayah Persekutuan Labuan tersebut terbalik apabila pemandu berusia 66 tahun itu dikatakan cuba mengelak daripada terlanggar seekor kerbau.

Pegawai Bomba Kanan Dua Balai Bomba Kuala Penyu, AK Rafie Pg Baha berkata lima sekeluarga berkenaan datang daripada arah Beaufort menuju ke Menumbok untuk menaiki feri pulang ke Labuan.

“Tiba sahaja di lokasi kejadian, mangsa cuba mengelak seekor kerbau sebelum terbabas sendiri dan melanggar paip air di tepi jalan.

Keadaan kereta Toyota Fortuner mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan di Simpang Kuala Penyu-Klias, Kampung Nukahan, Kuala Penyu. Gambar SNT/ Ehsan PGO Bomba

“Kita menerima laporan mengenai kemalangan ini kira-kira jam 7.51 petang melalui talian kecemasan 999 sebelum bergegas ke lokasi kemalangan.

“Setibanya di tempat dimaklum, kita melihat memang terdapat sebuah kereta jenis Toyota Fortuner berada dalam keadaan terbalik,” katanya.

Seekor kerbau yang telah mati dapat dilihat tidak jauh dari kereta mangsa.

Seekor kerbau yang telah mati di tempat kejadian. Gambar SNT/Ehsan PGO Bomba

“Kita dapati semua mangsa pacuan empat roda berkenaan sudah selamat dikeluarkan daripada kenderaan terbabit dengan bantuan orang awam. Semua mangsa cedera diberikan rawatan awal sebelum di hantar ke Hospital Kuala Penyu bagi rawatan lanjut,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.49 malam.-SabahNewsToday