Pilih Bahasa

Pairin harus perjelaskan Pas Residen Sabah

Ewon (tengah) semasa program perjumpaan dengan penduduk di Kampung Pinopon Baru Sinoko Membakut. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

MEMBAKUT: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick mencabar Tan Sri Pairin Kitingan bagi memberi penjelasan berkenaan Pas Residen Sabah (PRS) yang dipersetujui semasa beliau mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Di Sabah bagi membincangkan syor-syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah.

“Syor mengenai Pass Residen Sabah (PRESS) ini disebut di dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tersebut pada muka surat 355 (edisi Bahasa Inggeris). Tetapi Tan Sri Pairin menafikan syor tersebut yang kini dikenali sebagai Pas Sementera Sabah (PSS) berasal daripada laporan RCI tersebut.

“Selepas laporan RCI diperakukan di Parlimen, dua buah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan syor-syor RCI tersebut. Salah satu jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Pairin selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika itu telah bermesyuarat pada 14 Mac 2016 dan memperakukan syor PRS tersebut agar dilaksanakan. 

“Justeru, sebagai anak muda Sabah, saya mencabar beliau memberi penjelasan apa sebenarnya PRS tersebut, kandungan, halatuju dan sebagainya sehingga beliau sanggup untuk bersetuju mengenainya. Apakah ia berbeza dengan PSS? Kenapakah ia dicadangkan Pas Residen yang seolah-olah mahu menjadikan mereka ini sebagai penduduk tetap di Sabah ketika itu,” kata beliau.

Ewon (tengah) semasa berucap pada program perjumpaan dengan di Kampung Pinopon Baru Sinoko Membakut. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Ewon yang juga merupakan Naib Presiden Upko menyatakan demikian semasa berucap dalam perjumpaan dengan ahli-ahli Upko dan para penduduk di Kampung Pinopon Baru Sinoko Membakut di sini, hari ini.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Naib Presiden Datuk Dr Lucas Umbul, Setiausaha Agung Nelson Angang dan ahli-ahli Majlis Tertinggi Upko.

Beliau menambah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi penjelasan berkenaan dengan PSS yang juga turut sama diperjelaskan oleh pimpinan dan agensi kerajaan.

Upko sendiri telah mengadakan perbincangan meja bulat bagi mendapatkan penerangan terperinci mengenai PSS daripada agensi-agensi Kerajaan yang terlibat dan partinya telah menyatakan maklum balas yang berkaitan.

“Bagaimanapun, kita telah dimaklumkan bahawa Pairin mempengerusikan satu-satunya mesyuarat tersebut yang telah disahkan oleh mantan Peguam Negeri Sabah dan Pesuruhjaya Polis Sabah, maka pada saya, Pairin perlu memberi menjelaskan mengenai PRS dan sama ada rakyat pastinya mahu mengetahui pendirian pimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS), Star, Umno dan lain lain-lain terhadap syor PRS ini,” tambahnya. – SabahNewsToday