Pilih Bahasa

Pakatan Pemuda Sabah isytihar Deklarasi Anak Muda Sabah

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Tuntut hak-hak Perjanjian Malaysia (1963) tanpa kompromi dan minta masalah Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah diselesaikan segera – itu merupakan antara 10 Deklarasi Anak Muda Sabah yang diisytiharkan oleh pergerakan Pemuda dari parti kerajaan gabungan negeri hari ini.

Selain itu, sayap Pemuda Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Upko turut sebulat suara bersetuju membentuk satu gabungan yang dipanggil Pakatan Pemuda Sabah dan mengangkat Ketua Wira Warisan Datuk Azis Jamman sebagai ketua.

Sayap pemuda Pakatan Harapan Sabah, Warisan dan Upko mengisytiharkan Deklarasi Anak Muda Sabah hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone

Pemimpin serta wakil kesemua pergerakan Pemuda parti kerajaan membuat pengisytiharan tersebut dalam satu majlis yang julung-julung kali diadakan di Putera Ballroom Theatre di Bukit Padang dekat sini hari ini.

Pemuda Pakatan Harapan Sabah diwakili oleh Raymond Ahuar yang juga ketua Pemuda PKR Sabah, Wira Warisan oleh timbalan ketua Wira Mohd Ismail Ayub mewakili Azis manakala Upko oleh Ketua Pemuda, Felix Joseph Saang.

Turut bersama ialah ketua-ketua Pemuda DAP Sabah, Amanah Sabah dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah (Bersatu).

Bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas itu, Ismail berkata bagi Pemuda mereka menganggap apa jua permasalahan mahupun persengketaan antara parti-parti yang mungkin wujud sebelum ini dengan sendirinya selesai apabila Pakatan Pemuda Sabah ini dilancarkan.

Ismail menandatangan Deklarasi Anak Muda Sabah mewakili Ketua Wira Warisan Datuk Azis Jamman. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Memang kita akui ada sedikit perselisihan di luar sana tetapi kesepakatan dan fahaman sudah kami bentuk dan jalinkan bermula dari hari ini,” katanya ketika ditanya mengenai hubungan antara parti khususnya Warisan dengan Bersatu Sabah.

“Bagi kami adalah lebih baik kami teruskan agenda-agenda bagi memartabatkan suara anak muda dan suara-suara (rakyat) Sabah. Sudah tentu kita sedar dan tahu, tuntutan-tuntutan seperti MA63 perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan secepat mungkin,” katanya.

Mengenai deklarasi tersebut, Ismail berkata ianya akan diserahkan kepada Kerajaan dan “kita minta kerajaan melihat secara serius apa suara-suara anak muda Sabah dan kita berharap pimpinan kerajaan akan dengar kerana ini bukannya suara satu parti sahaja.”

Ketua Pemuda Upko Felix Joseph Saang menandatangan Deklarasi Anak Muda Sabah. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Ianya adalah daripada semua pimpinan Pemuda di Sabah ini dan sudah tentu dalam keadaan sekarang ini, bukan sahaja perlu mendengar tapi perlu ambil perhatian serius terhadap perkara yang dibangkitkan dalam Deklarasi Anak Muda Sabah,” katanya.

Menurutnya lagi Deklarasi Anak Muda Sabah ialah suara anak-anak muda Sabah yang ingin disampaikan kepada kerajaan negeri dan persekutuan.

Diminta mengulas tentang ucapan beliau di mana beliau menyatakan bahawa Wira Warisan Sabah menyokong penuh cadangan pemberian kad pengenalan baharu seperti yang disuarakan dalam ucapan Ketua Pemuda Upko, Felix Joseph Saang, Ismail berkata bagi Pakatan Pemuda Sabah ianya adalah dalam peringkat cadangan sahaja.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan Sabah, Raymond Ahuar menandatangan Deklarasi Anak Muda Sabah. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Kita tidak pun cadang masukkan di dalam deklarasi. Kita tahu untuk wujudkan Kad Pengenalan Sabah itu perlu perincian secara teliti dari pihak Persekutuan dan Negeri.

“(Sebenarnya) itu hanyalah suara daripada anak-anak muda di Sabah yang inginkan penyelesaian bagi masalah PTI yang berleluasa dari dulu sehingga hari ini.

“Dan salah satu penyelesaian, dan bukan dalam deklarasi, cuma sekadar cadangan sahaja adalah untuk mewujudkan satu dokumen yang sah bagi mengenalpasti penduduk asal di Sabah ini,” katanya.

Sebelum itu, Ismail, Raymond dan Felix menurunkan tandatangan masing-masing di atas Deklarasi Anak Muda Sabah sebagai gimik pelancaran.

Kandungan Deklarasi tersebut:

Kami, anak muda Sabah dalam era Sabah Baru telah meneliti dan menilai isu-isu berkaitan anak muda Sabah setelah setahun pemerintahan kerajaan baru. Kami akui tugasan yang lebih mencabar perlu dihadapi kerajaan kini bagi menyejahterakan anak muda dalam era globalisasi yang penuh dengan cabaran.

Menyedari hakikat ini maka kami anak muda Sabah dari sayap pemuda parti pemerintah kerajaan Sabah mengambil inisiatif untuk mengetepikan perbezaan politik demi mengangkat serta memartabatkan agenda dalam memperkasa anak muda Sabah serta generasi akan datang.

Maka atas sebab ini, kami anak muda Sabah telah sepakat mengisytiharkan ‘Deklarasi Anak Muda Sabah’ seperti berikut:

  1. Bersama menyelesaikan isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) serta menentang pengkhianat negara yang bersekongkol memberikan kewarganegaraan kepada warga asing dengan cara yang salah;
  2. Menghormati Perlembagaan Negara dan menuntut kembali hak-hak wilayah Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tanpa kompromi;
  3. Meningkatkan taraf ekonomi anak muda serta membuka lebih peluang pekerjaan buat anak muda Sabah;
  4. Bersatu padu sepakat memartabatkan wilayah Sabah merentasi perbezaan kaum, agama serta fahaman politik;
  5. Dengan keras dan tegas menentang rasisme dan sebarang tindakan yang mengganggu gugat keharmonian dan perpaduan rakyat Sabah melalui kaum dan agama;
  6. Menentang korupsi serta salah guna kuasa dari akar umbi hingga ke peringkat pimpinan tertinggi tanpa mengira pangkat dan kedudukan;
  7. Mempertahankan kelestarian alam sekitar dan tanah adat serta mempertahankan hak Orang Asal dan Orang Asli;
  8. Menyokong usaha kerajaan memperkukuhkan keselamatan sempadan Sabah dengan mewujudkan Kem Ketenteraan di kawasan Pantai Timur Sabah demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat;
  9. Memperkukuh setia kawan bersama kolektif serta pertubuhan anak muda dalam mengangkat agenda anak muda Sabah;
  10. Kebebasan akademik dengan menjamin hak pendidikan terhadap semua lapisan golongan anak muda tanpa mengira kaum, agama dan kerakyatan.

Dengan ini kami akan terus memperjuangkan agenda anak Muda Sabah serta terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk pihak badan bukan kerajaan dan kolektif-kolektif demi anak muda Sabah.

Kami anak muda Sabah juga berikrar menyokong penuh kepimpinan kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Bin Hj Apdal serta mengukuhkan kerjasama dengan semua pimpinan kerajaan negeri dalam mengangkat agenda anak muda Sabah.-SabahNewsToday