Pilih Bahasa

Pakej 15 Pan Borneo dilaksana selepas kumpulan pelaksana dibentuk sepenuhnya

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Projek Pembinaan Pakej 15 Lebuh Raya Pan Borneo di Tawau akan terus dilaksanakan selepas kumpulan pelaksana siap dibentuk sepenuhnya September ini.

Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata melalui pembentukan pelaksana itu, beberapa perubahan juga akan dilakukan daripada aspek keadaan jalan raya khususnya di kawasan yang sering digunakan sebagai laluan muatan kenderaan berat.

Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony (berdiri, lima dari kiri) bersama rombongan selesai Taklimat Organisasi Lawatan Rasmi, di sebuah hotel, di Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Sepertimana yang saya maklumkan bahawa projek itu apabila kumpulan Pan Borneo kita siap dibentuk selewat-lewatnya September ini, maka semua kerja-kerja tanggungjawab Pan-Borneo ini akan diserahkan sepenuhnya kepada negeri dan apabila ianya terbentuk, maka semua projek termasuk pakej 15 ini akan diselesaikan.

“Tidak dinafikan akan ada sedikit perubahan terutama dari segi kedudukan jalan di sekitar kawasan dari Beluran, Telupid dan Lahad Datu sering digunakan oleh lori muatan berat seperti minyak dan kelapa sawit.

“Saya sudah meminta diperingkat Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk meneliti dan keluarkan satu cadangan bagi menebalkan konkrit jalan raya supaya jalan itu lebih kukuh. Ia disebabkan kerosakan sering berlaku dikawasan-kawasan laluan pengangkutan berat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Organisasi Lawatan Rasmi beliau bersama rombongan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam taklimat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal, ADUN Merotai, Sarifuddin Hata, dan ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony bersama wakil rakyat hadir dalam sesi taklimat berkenaan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Dalam pada itu, beliau berkata pembinaan Empangan Cinta Mata di Gudang Empat sudah dimulakan sejak minggu lalu.

Katanya empangan itu dijangka siap dalam masa empat tahun dan kontraktor yang dilantik untuk menyiapkan empangan itu adalah kontraktor tempatan yang berkemahiran.

“Saya sudah arahkan kerja-kerja pembinaan empangan itu disegerakan dan kontraktor juga sudah mula menjalankan kerja di tapak berkenaan.

“Empangan berkenaan dijangka siap dalam masa empat tahun dan kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja berkenaan adalah kontraktor sebelumnya supaya mereka diberi peluang kerana kebanyakan kakitangan dibawah kontraktor adalah orang tempatan yang berkemahiran khususnya di kawasan Tawau,” jelasnya.

Tambahnya beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat konsesi yang berprestasi buruk dalam penyelenggaraan jalan raya di negeri ini.

“Saya akan tunggu laporan sepenuhnya daripada jurutera di semua daerah nanti sebelum memutuskan tindakan yang akan diambil.

“Kita sudah keluarkan amaran namun mungkin mereka masih dengan kaedah pemerintahan terdahulu atau sebaliknya kerana mereka mendapat kontrak sebelum kerajaan baharu ini ditubuhkan.

“Kita akan pastikan bahawa kita tidak akan pilih kasih. Bukan bermakna kita menganiaya mana-mana kontraktor tapi berdasarkan kualiti, kita mahu pastikan bahawa kualiti yang diberikan untuk masyarakat khususnya di daerah Tawau ini mesti dipatuhi,” jelasnya. – SabahNewsToday