Pilih Bahasa

Pala’u ditahan miliki bahan letupan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Polis Marin (PPM) berjaya menahan seorang lelaki Pala’u dipercayai memiliki peralatan dan bahan letupan untuk tujuan mengebom ikan, di kawasan perairan Tanjung Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata dalam kejadian pukul 12 tengahari itu, perahu yang dikendalikan suspek berusia 45 tahun dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) bertindak memintas perahu berkenaan.

Suspek ditahan miliki bahan letupan disyaki digunakan untuk aktiviti menangkap ikan. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

“Kita menjalankan pemeriksaan di dalam ruangan perahu terbabit dan menemui bahan peledak (detonator), baja ammonia serta botol kaca dipercayai digunakan untuk membuat bahan letupan.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki kemahiran dalam membuat bahan letupan untuk digunakan dalam kegiatan menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara bahan-bahan yang digunakan suspek untuk membuat bahan letupan. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

Mohamad Pajeri berkata suspek ditahan manakala barang rampasan termasuk perahu dan satu unit enjin pam dianggarkan bernnilai RM6,563 dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan membuat, memiliki bawah jagaannya bahan letupan,” jelasnya.-SabahNewsToday