Pilih Bahasa

Pala’uh ditahan bawa masuk 10 PTI Filipina

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Semua individu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

SEMPORNA: Dua lelaki pala’uh ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dipercayai membawa masuk 10 pendatang asing tanpa izin (PTI) warga Filipina ke daerah ini melalui perairan Singamata, di sini hari ini.

Bot yang dinaiki suspek berusia 20 dan 40 tahun dikesan ketika anggota Unit Gempur Marin (UNGERIN) bersama anggota bot tempur RH46 menjalankan Operasi Gelora Khas pukul 12.30 tengah hari.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Mohamad Pajeri Ali berkata, 10 individu berusia lima hingga 65 tahun itu dipercayai datang dari Bangao, Filipina.

Mereka dikenakan bayaran 2,500 peso (RM134.64) setiap seorang untuk perjalanan dari Bongao, Filipina menuju ke Semporna. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa penumpang seramai lima lelaki, tiga wanita dan dua kanak kanak perempuan.

“Siasatan awal pihak PPM mendapati mereka dikenakan bayaran 2,500 peso (RM134.64) setiap seorang untuk perjalanan dari Bongao, Filipina menuju ke Semporna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua individu terbabit cuba masuk ke daerah ini untuk mencari peluang pekerjaan.

Siasatan awal mendapati semua individu terbabit cuba masuk ke daerah ini untuk mencari peluang pekerjaan. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

“Semua suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk tiga bot enjin dianggarkan RM10,863 dirampas.

“Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – SabahNewsToday