Pilih Bahasa

Pala’uh gagal seludup keluar 400 liter minyak petrol

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Dua lelaki Pala’uh gagal menyeludup keluar kira-kira 400 liter minyak petrol apabila perahu dinaiki dipintas Pasukan Polis Marin (PPM), di kawasan Perairan Ambo Ambo, di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata bot dinaiki kedua-dua suspek berusia 25 dan 32 tahun ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke negara Filipina pukul 6.30 petang.

Kira-kira 400 liter minyak petrol dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) ketika cuba diseludup keluar ke negara Filipina. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

“Hasil pemeriksaan di ruangan perahu mendapati terdapat 12 jerikin pelbagai saiz berisi kira-kira 400 liter minyak petrol dipercayai cuba diseludup ke negara Filipina.

“Juragan turut gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan dokumen kebenaran membawa minyak petrol terbabit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keseluruhan nilai minyak petrol termasuk enjin sangkut dan perahu dianggarkan RM14,223 dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua suspek ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen kebenaran membawa minyak petrol terbabit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

“Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan kawalan bekalan,” katanya. – SabahNewsToday