Pilih Bahasa

PAMERAN DAN JUALAN PRODUK TEMPATAN 2018 EMPAT HARI DI KOMPLEKS KARAMUNSING BERMULA 6 DISEMBER

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian akan menganjuran Pameran dan Jualan Produk Tempatan 2018 selama empat hari bermula 6 Disember.

Menterinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata program berkenaan akan diadakan di Dewan Pameran Kompleks Karamunsing yang menempatkan seramai 217 usahawan tempatan.

Madius ketika ditemui pemberita selesai acara menandatangani MoU hari ini. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Objektif utama pameran ini adalah untuk mempromosi dan memperkenalkan produk-produk keluaran pengusaha kecil dan sederhana (PKS) seluruh Sabah.

“Ia juga merupakan platform bagi menggalakkan rakyat di negeri ini menggunakan produk tempatan yang sememangnya setanding dengan produk-produk dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Fakukti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hoyu Recycling and Retreading Sdn Bhd di sini hari ini.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata seramai 217 usahawan PKS melibatkan 30 usahawan kosmetik, 46 usahawan kraftangan, 130 usahawan makanan dan selebihnya adalah produk kesihatan akan mempamerkan produk masing-masing pada pogram tersebut.

Dalam pada itu, jelasnya para pengunjung bukan sahaja berpeluang mengenali produk-produk kelahiran PKS tempatan tetapi juga berpeluang untuk mencuba sendiri produk tersebut.

“Pelbagai produk akan dipamerkan dan dijual semasa pameran tersebut seperti produk berasakan makanan, minuman, kometik, kesihatan dan kegunaan umum.

“Antara lain juga seperti madu kelulut, sabun buatan tempatan, jus minuman, makanan ringan, kerepek dan sebagainya.

“Semasa pameran juga, pelbagai acara sampingan akan diadakan seperti persembahan hiburan dari artis tempatan setiap hari, pertandingan karaoke terbuka, pertaningan mewarna kanak-kanak, pemadanan perniagaan, persembahan badut, Cosply dan Superhero, Wheel of Fortune dan pencarian harta karun,” jelasnya.

Tambahnya taklimat khas oleh Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) juga akan diadakan kepada para usahawan yang terlibat pada hari pertama penganjurannya.

“Antara lain taklimat MDEC ini diadakan adalah untuk menggalakkan usahawan-usahawan Sabah berkecimpung dalam dunia pemasaran secara e-dagang,” katanya. -SabahNewsToday