Pilih Bahasa

Pameran tiga hari Pasaran Pelancongan Antarabangsa Sabah bermula 5 Julai

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pameran Pasaran Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITM) Sabah bakal berlangsung pada 5 Julai ini.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Cawangan Sabah Lawrence Wong berkata program yang berlangsung selama tiga hari itu di buka bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam di Dewan Pameran Kompleks Karamunsing.

Lawrence (tengah) merakamkan gambar bersama jawatankuasa penganjur MITM selepas sidang akhbar berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Pada program ini, sebanyak 30 agensi akan menyertai pameran pelancongan tersebut termasuk Lembaga Pelancongan, agensi-agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan juga syarikat-syarikat lain.

“Selain itu, sebanyak 70 gerai pameran dalam industri pelancongan luar negara dan juga tempatan akan menyertai acara terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar penganjuran MITM, di Kompleks Karamunsing, hari ini.

Katanya pihak beliau cuba untuk membantu agensi-agensi pelancongan pelbagai industri tempatan mahupun antarabangsa untuk memasarkan produk mereka pada acara tersebut.

“Tidak kira ianya produk pelancongan berasaskan inap desa, mereka juga berpeluang untuk memasarkan perniagaan mereka kepada tepatan mahupun pelancong-pelancong asing yang bakal hadir pada MITM.

“Dengan adanya platform ini, pelancong serta agensi pelancongan luar akan memperoleh pakej yang ditawarkan di seluruh negeri ini,” jelasnya.

Tambahnya penganjuran tahun terdahulu, pihaknya menyasarkan produk pelancongan tempatan ke China dan sebaliknya kerana kedatangan pelancong China yang meningkat pada ketika itu.

Jelasnya pada tahun ini, mereka turut menyasarkan pasaran ke Korea dan juga Eropah.

Katanya, hal demikian kerana, pameran tersebut merupakan salah satu pameran pelancongan terbesar di Sabah. -SabahNewsToday