Pilih Bahasa

Pandu bas guna PPE

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Tugasan hariannya tetap sama memandu bas Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) namun rutin kali ini sedikit berbeza berikutan perlu memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Awang Isnin Okrih, 47, bersama seorang lagi rakannya diberi tugasan membawa pelajar Sabah yang baharu pulang dari Semenanjung dan Sarawak.

Pemakaian PPE sambil memandu bas merupakan pengalaman baharu buat Awang Isnin Okrih semasa menjalankan tugas mengambil dan menghantar pelajar tajaan Kumpulan Yayasan Sabah dari Semenanjung Malaysia serta Sarawak di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Walaupun harus bertugas dalam keadaan memakai PPE yang lengkap namun ia bukan alasan buat Awang Isnin tidak memberikan yang terbaik dalam melakukan bidang kerjanya.

“Penugasan hari ini secara fizikalnya tetap sama iaitu membawa bas untuk pelajar sekolah. Cuma perbezaannya dari segi pemakaian di mana kita diberikan PPE yang lengkap untuk faktor keselamatan.

Awang Isnin Okrih. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Bas ini juga sudah menjalani proses nyah kuman sebagai salah satu prosedur yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Ia bertujuan sebagai langkah keselamatan sebelum bas dinaiki pelajar. Terdapat tiga buah bas yang digunakan hari ini termasuklah sebuah bas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Awang Isnin Okrih (kanan) bersama rakan setugas lengkap berpakaian PPE semasa mengambil pelajar Sabah di LTAKK. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Selain itu, kita turut diarah meletakkan tanda pangkah di setiap tempat duduk agar pelajar dapat menjaga penjarakkan sosial ketika berada di dalam bas.

“Walaupun bas mempunyai kapasiti 40 orang tetapi kali ini ia hanya boleh dinaiki 20 orang pelajar dalam satu masa,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Menyambut Ketibaan Pelajar Tajaan Yayasan Sabah daripada  Semenanjung dan Sarawak, semalam.

Awang Isnin Okrih (kiri) bersama rakan setugas lengkap berpakaian PPE sementara menunggu ketibaan para pelajar di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, Awang Isnin berkata semua pemandu bas tidak perlu risau kerana pihak Yayasan Sabah menyediakan PPE yang lengkap termasuklah penutup muka dan bersarung tangan.

Semua pelajar akan ditempatkan di Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) bagi menjalani saringan pemeriksaan Covid-19 sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas mendapat arahan JKNS. -SabahNewsToday