Pilih Bahasa

Panggilan telefon tidak dijawab, rupanya mati

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Misteri panggilan tidak terjawab akhirnya terungkai apabila lelaki warga emas ditemui mati tergantung di dalam bilik sewanya di Kepayan Rumah Murah, di sini, petang tadi.

Mangsa Chin Siu Yin, 66, ditemui kira-kira jam 5 petang oleh beberapa penghuni rumah berkenaan selepas rakan mangsa memberitahu telefon bimbitnya tidak dijawab.

Anggota polis menurunkan mayat warga emas yang tergantung dalam rumah sewa di Kepayan tadi. Gambar Sabah News Today

Susulan itu, beberapa penghuni kemudian melihat daripada tingkap bilik dan terkejut apabila mangsa dilihat tergantung dan tidak bergerak.

Salah seorang penghuni rumah sewa kemudian menghubungi pihak polis.

Pasukan polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui tergantung di dalam bilik sewanya di Kepayan Rumah Murah, Kota Kinabalu. Gambar Sabah News Today

Kali terakhir mangsa dilihat pada sebelah pagi ketika hendak masuk ke bilik sewanya.

Difahamkan, mangsa tinggal seorang diri di bilik sewa berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-SabahNewsToday