Pilih Bahasa

Pantau semua aspek jika pengharaman mesin slot dilaksanakan di Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Tindakan berterusan harus dibuat pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan pelbagai sudut sekiranya pengharaman mesin slot dilaksanakan di negeri ini.

Pembantu Menteri Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayan, Jannie Lasimbang berkata pemantauan hendaklah tidak hanya tertumpu kepada premis yang lesennya tidak disambung malah perjudian yang diadakan di kawasan kampung serta atas talian juga perlu dikenakan tindakan.

Jannie Lasimbang. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Isu hangat diperkatakan kini adalah perjudian dan bukannya berkaitan premis yang melaksanakan perkhidmatan ini.

“Jika kita mahu ia menampakkan kesan, pelaksaannya mesti menyeluruh melibat semua aspek.

“Perjudian juga berlaku di kampung-kampung sertas dibuat secara atas talian. Sekiranya perjudian dalam premis ditutup, individu yang gemar melakukan aktiviti ini boleh sahaja membuat kegiatan sama dianjurkan secara persendirian atau judi online.

“Oleh itu, perkara ini turut patut dibendung agar memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya berkaitan kenyataan pelaksaan undang-undang baharu itu bakal mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan, Jannie berkata beliau pasti Kabinet negeri sudah memikirkan kebaikkan dan keburukkan pelaksanaanya.

“Perkara ini bukanlah satu keputusan yang mudah kerana mungkin ada individu yang kehilangan pekerjaan tetapi kesan buruk mesin slot dalam kalangan masyarakat patut difikirkan.

“Bagaimanapun, mungkin kerajaan negeri boleh membincangkan perkara ini lebih mendalam dan terperinci sebelum ia dikuatkuasakan agar tidak memberi kesan negatif,” katanya. –SabahNewsToday