Pilih Bahasa

PARK TAESU DAN LUKA MILUNOVIC PERKUAT SKUAD SABAH

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Pemain import baharu Sabah, Park Taesu (No. 6) dan Luka Milunovic (No.10) menerima jersi mereka daripada Peter Anthony (tengah) dan Pengurus Pasukan, Henry Soimpon di Stadium Likas. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengesahkan dua pemain import baharu iaitu Park Taesu dan Luka Milunovic akan beraksi bagi pasukan itu dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Pemangku Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony berkata kedua pemain itu yang masing-masing berasal dari Korea Selatan dan Serbia telah menandatangani kontrak selama setahun bersama SAFA.

Luka Milunovic. Gambar SNT/Ehsan TRT

Menurut beliau kelibat pemain itu sudah pastinya akan ditagih untuk membantu memperkuatkan pasukan dengan perlawanan pertama menentang Johor Darul Takzim 2 (JDT2) di Stadium Likas pada Sabtu ini merupakan ujian pertama buat keduanya.

“Hari ini kita telah mendapat pemain tambahan seperti saya nyatakan kelmarin (Ahad). Walaupun keadaan kita sukar, namun pengurusan persatuan memutuskan perlunya gandingan import dalam pasukan.

Park Taesu. Gambar SNT/Ehsan TRT

“Park merupakan pemain pertahanan manakala Luka dipilih bagi memperkuatkan jentera serangan kita. Kemungkinan akan ada lagi tambahan seorang (pemain import).

Aksi Luka Milunovic (tiga dari kanan) dalam sesi latihan pasukan Sabah di Stadium Likas. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

“Bagaimanapun, untuk perlawanan pertama Sabtu ini kita akan gunakan pemain yang ada. Apa yang penting kita mahukan kemenangan untuk pasukan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan secara rasmi dua pemain import baharu skuad Sabah di Stadium Likas, di sini hari ini.

Park yang berusia 29 tahun kali terakhir beraksi bersama kelab bola sepak negaranya iaitu Hwaseong FC akan memakai jersi nombor 6 manakala Luka yang akan menyarung jersi nombor 10 disambar dari Melaka United.

Pemain Sabah menjalani latihan di pada sintetik Stadium Likas di bawah kendalian ketua jurulatih, Jelius Ating, – Gambar SNT / Sitti Nor AzizahTalata

Peter berkata kedua pemain tersebut juga telah melepasi kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekaligus membolehkan mereka untuk beraksi menentang JDT2.

Bagaimanapun jelasnya pemilihan kesebelasan utama pemain yang akan bermain pada perlawanan itu akan diputuskan oleh ketua jurulatih semasa sesi latihan terakhir nanti. – SabahNewsToday