Pilih Bahasa

Parlimen terima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin untuk pembentangan

Oleh Sabah News Today

KUALA LUMPUR: Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad telah diterima untuk pembentangan.

Parlimen Malaysia semalam dalam satu ciapan menyiarkan kenyataan media dua mukasurat Speaker Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof yang menyatakan keputusan menerima usul yang dikemukakan Tun Mahathir itu di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3).

Mesyuarat Pertama, penggal ketiga Parlimen ke-14 bersidang pada 18 Mei ini. Gambar SNT/Ihsan Portal Rasmi Parlimen Malaysia

Usul itu mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa “Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.”

Mesyuarat Pertama, penggal ketiga Parlimen ke-14 dijadualkan pada 18 Mei ini dan hanya akan bersidang selama sehari.

Kenyataan media Speaker Parlimen. Gambar SNT/Ihsan Tweeter Parlimen Malaysia

Namun usul kedua Tun Mahathir di bawah Peraturan Mesyuarat 4, iaitu mengekalkan Speaker Dewan Rakyat sehingga dewan dibubarkan, ditolak Mohamad Ariff.

Selain dua usul itu, Mohamad Ariff juga menerima sebahagian daripada usul Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong di bawah Peraturan Mesyuarat 18.

Kenyataan media Speaker Parlimen. Gambar SNT/Ihsan Tweeter Parlimen Malaysia

Bahagian satu dan dua usul Liew serupa dengan usul Tun Mahathir manakala bahagian tiga dan empat usul beliau adalah memohon persidangan dilanjutkan daripada sehari kepada lapan hari.

Mohamad Ariff menerima sebahagian daripada usul itu memandangkan perkara itu berkaitan kepentingan orang ramai, manakala sebahagian lagi ditolak dengan alasan ia tidak perlu disegerakan.

Manakala, usul Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) ditolak kerana ia tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. -SabahNewsToday