Pilih Bahasa

Parti Pejuang Tanah Air – parti baharu Tun Mahathir

Oleh Sabah News Today

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan nama parti politik baharu yang ditubuhkannya sebagai Parti Pejuang Tanah Air.

Beliau mengumumkan nama parti politik baharu ini semasa majlis memperkenalkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim yang mewakili Pejuang atas tiket bebas di Tanjung Malim, Perak malam tadi.

Tun Mahathir (tiga kanan) memperkenalkan calon Bebas yang mewakili Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dalam PRK Dun Slim, Perak malam tadi. Gambar Bernama

“Parti ini akan berpegang teguh kepada penolakan money politic (politik wang),” kata beliau.

Terawal, Dr Mahathir telah mendedahkan nama parti baharu tersebut, ‘Pejuang’ dalam posting berbentuk sajak di laman rasmi Facebook beliau.

Beliau berkata parti tersebut ditubuhkan kerana kesedaran dan untuk membanteras rasuah yang menghancurkan bangsa.

“Pilihlah. Parti kami ditubuh kerana kesedaran. Rasuah menghancur bangsa. Rasuah yang hancur orang Melayu.

“Jika ingin dapat jawatan dan wang. Pilih parti lain. Jika ingin tebus maruah. Jika ingin kekal hak kita. Pilih parti kami. Pilih Pejuang,” menurutnya.

Pada 7 Ogos lepas, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang belum diberi nama dan tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional.

Beliau dilapor sebagai berkata parti itu akan dipimpin oleh anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai presiden dan beliau sebagai pengerusi.

Sementara itu, kumpulan penyokong Dr Mahathir menamakan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, sebagai calon mewakili mereka yang akan bertanding atas tiket Bebas dalam PRK Dun Slim pada 29 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas.-SabahNewsToday