Pilih Bahasa

Pas buat laporan polis terhadap Peter Anthony

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pas Sabah hari ini mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony yang menyatakan bahawa Pas membuat laporan polis terhadap sambutan Krismas di Membakut.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata dalam satu video yang tular di media sosial menunjukkan dengan jelas bahawa Peter ketika berceramah menyatakan bahawa Pas membuat laporan polis terhadap sambutan Krismas yang diadakan di daerah berkenaan.

Mohd Aminuddin Aling. Gambar Fail SNT

“Saya tidak pasti dari mana sumber yang didapati oleh beliau. Ini merupakan satu pembohongan dan fitnah yang sangat tidak bertanggungjawab.

“Pas akan membuat laporan polis terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Peter kerana ia satu pembohongan dan fitnah yang nyata,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Aminuddin kemudian mengingatkan Peter agar jangan beranggapan bahawa seolah-olah beliau sahaja orang Sabah.

“Saya juga orang Sabah berbangsa Dusun. Saya mempunyai keluarga pelbagai agama khususnya Islam dan Kristian.

“Saya sangat memahami cara hidup dan budaya kaum Kadazan Dusun Murut di Sabah. Kami tidak sekali-kali akan menafikan hak dan kepercayaan agama lain,” tegas beliau lagi.

Mohd Aminuddin berkata Pas melihat kempen yang dilakukan oleh Warisan dan sekutunya diwarnai dengan hasutan dan perkauman.

Jelas beliau lagi Pas kesal dengan kenyataan Peter, lebih-lebih lagi ia keluar dari mulut seorang pemimpin utama parti dan menteri Kabinet Sabah

Sementara itu Dewan Pemuda Pas Sabah telah membuat laporan polis terhadap kenyataan didakwa berbentuk sentimen agama Peter di Balai Polis Bongawan pada 5.30 petang tadi. – SabahNewsToday