Pilih Bahasa

PAS HANYA TERIMA PARTI YANG TOLAK EKSTREMISM, TERIMA KEPIMPINAN ISLAM: ABDUL HADI

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

MANGGATAL: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang ekstrem.

Abdul Hadi seterusnya berkata Pas hanya boleh menerima kerjasama parti lain yang boleh menerima kepimpinan Islam dan menolak ekstremism.

Abdul Hadi Awang (tengah) menjawab pertanyaan pihak media selepas menghadiri Program Pidato Perdana Islam anjuran Institut Kajian Strategik Sabah (Iksas) di Borneo Tree House Tebobon, Manggatal. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

“Kerjasama Pas haruslah dengan parti yang tidak ekstrem, boleh terima kepimpinan orang Islam… tidak perlu saya sebutkan nama (pihak berkenaan).

“Oleh itu perkara ini (kerjasama dengan Umno) memerlukan masa yang panjang untuk dilihat secara menyeluruh,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri program Pidato Perdana Islam dan Keharmonian dan makan malam anjuran Institut Kajian Strategik Sabah (Iksas) di Borneo Tree House Tebobon, Manggatal di sini semalam.

Beliau menjelaskan perkara itu apabila ditanya sama ada Pas masih mempertimbangkan kerajaan campuran dan perpaduan dengan Umno di Semenanjung.

Abdul Hadi memberitahu sama ada istilah kerajaan campuran atau perpaduan, kerjasama Pas-Umno perlu dilihat daripada segala penjuru memandangkan Pas sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama dengan Semangat 46 dan Dap.

“Kita pernah ada (kerajaan) campuran pada 1973 dan pernah menubuhkan perikatan dengan Barisan Nasional (BN) tapi dibubarkan pada 1974.

“Semua ini memberikan pengalaman kepada kita untuk melihat dengan secara meluas sebelum bersetuju mewujudkan kerjasama dengan mana-mana parti,” ujarnya.

Mengenai hubungan di antara Pas Sabah dan Umno di negeri ini, Abdul Hadi berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan Pas di peringkat negeri untuk memutuskannya, namun sebarang pendapat perlu didengar secara terperinci. – SabahNewsToday