Pilih Bahasa

Pas Papar tubuh tiga cawangan serentak

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Idris (tengah) bersama beberapa ahli Pas Papar yang hadir pada majlis perasmian penubuhan Pas cawangan Kinarut, KampungTakis dan Gusi. – Gambar SNT/Ihsan Pas Sabah

PAPAR: Pas Kawasan Papar mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan tiga cawangan sekaligus iaitu cawangan Kinarut, Kampung Takis dan Gusi.

Majlis perasmian cawangan telah diadakan dalam Ceramah Perdana Pas Sabah yang disempurnakan oleh Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

Idris berkata penubuhan cawangan tersebut membuktikan Pas tidak hanya sebagai parti siasah (politik) semata-mata tetapi juga sebagai parti tarbiah dan dakwah.

Idris (kiri) merasmikan penubuhan Pas cawangan Kinarut, KampungTakis dan Gusi pada program Ceramah Perdana Pas Sabah di Papar. – Gambar SNT/Ihsan Pas Sabah

“Siasah ada musimnya tetapi tarbiah dan dakwah sentiasa berjalan tanpa musim,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ketiga-tiga cawangan tersebut di sini, semalam.

Pada majlis itu juga turut diadakan penyerahan 119 borang keahlian baharu kepada beliau, selain agihan sumbangan keperluan dapur kepada masyarakat yang memerlukan.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Papar berharap dengan penubuhan cawangan baharu itu Pas kawasan itu akan lebih menggiatkan lagi usaha mengadakan program dan gerak kerja untuk kebajikan masyarakat.

Sebahagian ahli Pas yang hadir pada majlis Ceramah Pas Perdana Sabah di Papar. – Gambar SNT/Ihsan Pas Sabah

Lebih menarik kata beliau lagi apabila ceramah dan perasmian cawangan diadakan atas permintaan daripada penduduk kampung.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Aminuddin Aling; Setiausahanya, Dr Aliakbar Gulasan; Yang Dipertua Pas Papar, Abd Salim Karim dan Setiausahanya, Mat Razali Mat Lazin. – SabahNewsToday